Monday, 30 May 2011

Bulan Rejab - Bulan Ke-7 Hijrah

 

Kelebihan Bulan Rejab

rejabBulan Rejab adalah termasuk di dalam salah satu bulan-bulan Islam yang dianggap suci oleh umat Islam. Firman Allah s.w.t.
Maksudnya ;
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. (At-Taubah: 36)

Empat bulan yang dihormati sebagaimana disebutkan di dalam ayat tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Inilah yang telah disepakati oleh para mufassirin. Penghormatan terhadap bulan Rejab adalah bersempena penghormatan yang telah diberikan kepadanya semenjak zaman jahiliah lagi dimana mereka mengharamkan peperangan di dalam bulan tersebut. Inilah suatu pengiktirafan oleh Allah s.w.t. terhadap bulan Rejab di samping bulan-bulan haram yang lain.
Sejarah Islam telah mencatatkan beberapa peristiwa penting telah berlaku di dalam bulan Rejab, di antaranya ialah ;
Pertama : Peristiwa isra' Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama' Islam. Ia adalah peristiwa di mana Rasulullah s.a.w. telah dijalankan dari Mekah ke Baitul Maqdis dan kemudiannya diangkat ke langit untuk bertemu Allah s.w.t. Di sinilah bermulanya kefardhuan solat lima waktu kepada umat Muhammad s.a.w.

Kedua : Peristiwa hijrah yang pertama ke negeri Habsyah oleh beberapa orang sahabat Rasululullah s.a.w. termasuk termasuk saidina Usman bin Affan r.a. dan isterinya Ruqaiyah binti Rasulullah s.a.w. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.

Ketiga : Peristiwa perang Tabuk yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah. Ia adalah peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke semenanjung Tanah Arab ketika itu. Walaubagaimanapun akhirnya tentera Rom membatalkan hasrat mereka kerana merasa gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.
Selain daripada itu, terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku di dalam bulan yang mulia ini seperti penaklukan semula kota Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi dari kekuasaan tentera Salib pada 27 Rejab 583 hijrah. Imam As-Syafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam di tanahair kita juga dilahirkan di dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah bersamaan 767 masehi.

TINGKATKAN AMAL DI BULAN REJAB SEBELUM SAMPAI RAMADHAN.Oleh kerana itu, bersempena datangnya  bulan Rejab ini banyak amalan sunat yang boleh dilaksanakan sepertimana juga di dalam bulan-bulan yang lain, di antaranya ;
1.    Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada bulan Rejab. Amalan berpuasa sunat adalah merupakan suatu galakan daripada Allah s.w.t. kepada umat Muhammad s.a.w. sebagaimana disebutkan di dalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Bukhari ;
Maksudnya ;
Sabda Rasulullah s.a.w. " Allah s.w.t. telah berfirman bahawa puasa itu adalah untukNya maka Allah lah yang akan membalasnya."

Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab. Said menjawab: "Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: "Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa." (Sahih Muslim)

2.    Memperbanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hazam ;
Maksudnya :
" Tangan yang di atas ( pemberi ) lebih baik dari tangan yang di bawah ( penerima )"

3. Memperbanyakkan zikrullah dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih  dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. yang  bermaksud " Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia."

Apa yang kita harapkan agar amalan-amalan di dalam bulan Rejab ini dilakukan dengan penuh keikhlasan dan akan menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t.

Maksudnya ;
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!(Zalzalah: 7-8)

Ustaz Muhammad Muzakkir Che Ani

*Nota;
Bahan ini diambil dari Haluan Tarbawi.com untuk tatapan kita bersama....

Merindui Ainaa'ul Mardhiyah

Rindu!..Ermm..hari ini rindu pada seseorang sudah menjadi kebiasaan pada anak muda kita. Bukankah rindu itu satu perasaan indah yang dianugerahkan Allah SWT pada kita. Namun, sejauh mana rindu kita itu satu anugerah Allah SWT atau sekadar perasaan dari nafsu amarah? Menjadi pemuda luarbiasa di sisi Allah, rindunya pada seseorang akan membawa kebahagiaan di syurga, persoalannya mampukah kita miliki rindu sedemikian? Mari kita belajar dari seorang remaja dan pemuda luarbiasa yang merindui Ainaa’ul Mardhiyah, bidadari syurga.
Abu Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdul Wahid bin Zaid:
“Pada suatu hari ketika kami di dalam satu majlis persiapan untuk pergi berjihad, aku memerintahkan kawan-kawanku untuk keluar ke medan peperangan, lalu seorang daripada kami membacakan ayat 111 surah at-Taubah yang bermaksud:
“Sungguh Allah SWT telah membeli dari kaum mukminin jiwa dan harta mereka dengan di bayar syurga.”
Di dalam majlis itu ada seorang pemuda berumur 15 tahun. Beliau yang baru kematian bapanya telah menerima harta waris yang banyak telah berkata:
“Ya Abdul Wahid, aku bersaksikan padamu untuk menjualkan diri dan hartaku untuk mendapatkan syurga itu.”
Subhanallah, masih adakah remaja seusia 15 tahun mampu berdiri teguh dan mengungkapkan semangat jihad dan kecintaaannya pada syurga Allah sehingga sanggup memberikan segala hartanya?

Sunday, 24 April 2011

Coretan masa-masa yang berlalu.......

Assalamualaikum wrth.

Alhamdulillah.... syukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah perkenananya kita masih lagi diberi kesempatan untuk terus bernafas dan menghirup udara segarnya diatas mukabuminya ini disamping masih lagi memberi ruang untuk kita sama-sama merasai nikmat dan Anugerah terbesarnya yakni nikmat ISLAM itu sendiri..... dan seperti kata Almarhum Abul A'la Al-Maududi bahawa inilah anugerah yang terbesar yang Allah SWT kurniakan kepada umat manusia diatas dunia ini.....
Alhamdulillah.....dalam jutaan umat manusia yang ada dimukabumi ini, kita diantara yang terpilih untuk merasai nikmat ini...... jadi... anakcucucicit TokSomTokWanNasir sekelian marilah sama-sama kita bersyukur dalam ertikata yang sebenar diatas anugerah ini.....yakni dengan kita menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya dalam waaima apa sekalipun kehidupan kita.....marilah kita mengabdikan sepenuh penghayatan dan kehidupan kita untuk ISLAM yang agung ini,Islam yang telah ditanzilkan oleh Allah SWT kepada Ar-Rasul Muhammad SAW kepada seluruh umat manusia diatas mukabumi ini.......

 " Dan tidak Aku jadikan Jin dan Manusia itu melainkan untuk mereka itu mengabdikan diri mereka kepadaKu "
      Adz-Zariyat : 56

Dalam meniti kehidupan kita sehari-hari ini perlulah kita semak dan kita buat check and balance dalam semua aktiviti-aktiviti kita...adakah ikut apa yang Allah suruh ataupun tidak..... kalau ok..alhamdulillah... kalau tidak maka kena perbaikilah agar ianya lebih baik dimasa akan datang... semoga hari ini lebih baik dari semalam dan semoga esok lebih baik dari hari ini......

Anakcucucicit TokSomTokWanNasir sekelian......
Apa yang kita buat hari ini akan ditanya nanti dihadapan Allah SWT.....marilah kita sama-sama memohon keampunan dan berdoa agar Allah SWT dengan sifat Rahimnya sentiasa mengampunkan kita dari kesalahan-kesalahan yang tak lepas dari  kita dalam suasana yang serba mencabar ini......

Semoga Allah SWT mencampakkan Rahmatnya keatas kita semua,mengembangkan lembayung rahmatnya kepada kita,keluarga kita, anak-anak dan isteri kita dan memasukkan kita kedalam SyurgaNya yang maha luas dan menjauhi kita dari Azab Nerakanya..Nauzubillah.......

Wallahuallam...

Wassalam....

Pak Su Jaman

Sunday, 13 March 2011

Surat Terbuka daripada seorang pelajar untuk Datin Seri Rosmah Mansor


Assalamualaikum Datin Seri. Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH, andai diizinkanNya, Julai nanti genaplah usia saya 19 tahun.
Saya perkenalkan diri, sebagai remaja yang ingin tahu. Apa jua medium yang termampu saya pergunakan, saya usahakan sebaiknya agar saya dapat mengikuti perkembangan semasa, khususnya berkenaan negara Malaysia yang tercinta ini.
Iya, Datin Seri. Umur saya, sangat muda. Kedudukan saya, jauh benarlah kiranya dibandingkan dengan Datin Seri. Namun, saya yakin dan percaya, andai umurlah yang menjadi penentu kelayakan seseorang untuk bersuara, tidaklah layak sama sekali untuk suami Datin Seri memegang amanah pentadbiran negara sekarang, kerana di luar sana terdapat ramai yang lebih tua usianya!
Tegas saya, saya adalah remaja yang memerhati. Saya tidak mahu, sekadar menjadi manusia yang kerjanya memuaskan tembolok sendiri. Tidak juga hanya terpaku di bilik darjah, ‘menelan’ buku teks sekolah. Saya percaya, erti hidup pada memberi!
Datin Seri Rosmah Mansur yang saya hormati,Saya pohon jutaan kemaafan, andai surat kecil ini menyinggung Datin Seri. Saya tidak berniat untuk menyakiti hati Datin Seri, jauh sekali memburuk-burukkan. Surat kecil ini, hanyalah usaha kerdil saya, menyampaikan isi hati. Ia hanyalah suara hati dan pandangan seorang anak muda.
KASIH SAYANG KEPADA RAKYAT
Datin Seri,Pernah suatu pagi, saya dibawa ibu untuk menziarahi jenazah anak tunggal seorang jiran kami. Kanak-kanak kecil itu, baru berusia 6 tahun. Khairani namanya. Runtun rasa di hati, sebaik melihat keadaan rumah tempat tinggalnya kanak-kanak itu bersama ibunya. Saya cuba membayangkan, bagaimanalah andainya hujan lebat menimpa bumbung rumah itu. Atapnya berlubang-lubang, hinggakan saya fikir memadai dengan cahaya matahari yang ‘mencuri’ masuk melaluinya untuk menyinari ruang dalam rumah daif itu. Saya terpaksa melangkah berhati-hati, kerana lantainya berkeriut dan goyah sekali.
Hadir insaf dan syukur di dalam hati saya, bahawa betapa saya memiliki hidup yang jauh lebih baik dan selesa berbanding ramai lagi rakyat kebanyakan.
Di sekolah, saya punyai rakan-rakan yang sulit sekali melangsaikan yuran bulanan asrama. Bukan culas, bukan malas, tetapi kesempitan hidup menyukarkan mereka. Adik-beradik ramai yang masih bersekolah, ditambah taraf hidup dan kos keperluan yang kian meningkat dari sehari ke sehari, semuanya membebankan!

Datin Seri,Sungguh saya tidak mampu mengelakkan rasa kecewa, apabila mengetahui yang Datin Seri bermalam di sebuah hotel di Dubai dengan kos melebihi RM100, 000 semalaman. Sehingga ke hari ini, saya masih teringatkan rumah daif adik Khairani, juga nasib ramai lagi yang saya temui sepanjang umur ini. Saya tahu, betapa besarnya urusan Datin Seri, juga kedudukan Datin Seri. Mungkin memang Datin Seri berhak, tetapi, apakah Datin Seri langsung tidak teringatkan kami, rakyat yang kesusahan? Apakah Datin Seri langsung tidak terfikirkan nasib ratusan, ribuan lagi rakyat yang tidak bernasib baik?
Apakah tiada langsung rasa bersalah di hati Datin Seri? Rasa bersalah kerana tinggal hanya untuk semalaman tetapi dengan kos yang boleh menyamai lebih kurang pendapatan selama 66 bulan bagi 40 peratus rakyat Malaysia! 40 peratus inilah rakyat yang pendapatan bulanan bagi setiap keluarga adalah lebih rendah daripada RM1500 sebulan. Bahkan setiap 3 daripada 4 keluarga ini, adalah sebangsa dengan Datin Seri, bangsa MELAYU!
Atau apakah Datin Seri tidur dengan lena malam itu?

Hingga hari ini, sudah bertahun saya tidak ke restoran Pizza Hut, McDonald dan seumpamanya. Kerana cukup dengan hanya melihat dari jauh, hadir rasa pilu mengenangkan saudara-saudara seagama, anak-anak muda seusia saya atau kanak-kanak, wanita dan orang tua yang dibunuh kejam di Palestin oleh rejim zalim Israel hasil sumbangan restoran-restoran ini.
Ia dipanggil, kasih sayang Datin Seri. Maafkan saya, tetapi saya terpaksa bertanya, apakah tiada langsung walau secebis pun rasa kasihan kepada rakyat Malaysia yang hidup serba kesusahan? Rakyat yang terpaksa melupakan impian dan keinginan kerana kesempitan hidup, namun terpaksa pula menanggung kos penginapan Datin Seri dan rombongan di luar negara untuk hanya semalaman!? Bayangkan pula kos penerbangan untuk keseluruhan rombongan selain daripada penginapan!
Peningkatan kos sara hidup waktu ini, sangatlah membebankan. Suami Datin Seri berterusan meminta seluruh rakyat berjimat, sedangkan isterinya? Hasil tindakan kerajaan pimpinan suami Datin Seri, mengurangkan subsidi untuk rakyat terbanyak sedangkan untuk para taukeh-taukeh besar dikekalkan, juga ‘penyelarasan-penyelarasan’ harga, teramatlah menyulitkan kami semua.
Sungguh Datin Seri, kami sangat terbeban meskipun harga petrol dinaikkan walau beberapa sen. Ia akan mempengaruhi seluruh kehidupan kami. Harga makanan, pakaian, kos pengangkutan dan semuanya akan semakin menyulitkan kami. Saban hari, saya melihat ibu mengeluh kerana gajinya sukar sekali untuk disimpan, ia sekadar mencukupi untuk setiap bulan.
Kami rakyat tidak meminta Datin Seri turut menaiki kereta biasa atau tinggal di rumah biasa seperti kami. Hanya yang kami rakyat pinta, supaya Datin Seri dan suami menyelami hakikat kesukaran yang terpaksa kami tempuhi.
Malangnya, tindakan Datin Seri berbelanja mewah begini adalah sama sekali tidak menggambarkan Datin Seri dan suami bersama-sama kami. Sungguh, ini amat mengecewakan saya. Sukar sekali untuk saya mewajarkannya. Maafkan saya Datin Seri, sungguh ia tidak dapat saya terima.

IFF dan ISLAM
Datin Seri yang dihormati,
Tiadalah yang lebih mengecewakan dan membangkitkan kemarahan, melainkan ketika melihat Datin Seri dan suami di Festival Fesyen Islam Monaco. Bagaimana tidak, pakaian yang diperagakan langsung tidak menggambarkan Islam! Langsung tidak menutup aurat, menampakkan bahagian-bahagian yang sepatutnya sulit dan yang paling dahsyatnya, nama RasuluLlah SAW yang mulia tertera pada pakaian yang tidak menutup aurat!

Apakah Datin Seri tidak menyedari, bagaimana kemarahan yang telah Datin Seri cetuskan? Nama RasuluLlah SAW yang mulia dihina sebegitu rupa! Namanya cukup mulia, hinggakan apabila disebut namanya, dikira manusia yang paling kikir sekiranya tidak dipanjangkan nama itu dengan selawat ke atasnya. Tiba-tiba, nama itu dihina sebegitu rupa! Bahkan, Datin Seri yang menghadapi teguran, kritikan, kecaman dan tunjuk rasa langsung tidak memohon maaf. Langsung tidak!

Sedangkan para Ulama’ masih berbahas, bagaimana cara paling baik untuk mengagungkan Manusia Mulia ini, tiba-tiba Datin Seri kelihatan meredhai perbuatan yang jelas MENGHINA Baginda Nabi SAW!

Sebenarnya, Datin Seri sudah dari awal menunjukkan kecekalan Datin Seri melanggar syariat Allah. Datin Seri tidak menutup aurat, bersentuhan, berlaga pipi dan berpelukan dengan lelaki bukan mahram yang disepakati sekalian Ulama’ sebagai perbuatan yang HARAM!

Menyentuh anjing atau khinzir, hukumnya juga Haram. Namun, hilang kotornya dengan perbuatan menyamak. Malangnya, tiada apa yang mampu ‘membersihkan’ haram dan kotornya nya menyentuh lelaki ajnabi kecuali API NERAKA!

Lalu, dengan semua perlakuan Datin Seri, apakah mungkin Datin Seri fikir kami rakyat akan menerima dakwaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa kerajaan pimpinannya berusaha keras berjuang demi Islam dan bangsa. Sedangkan isterinya sendiri, tidak memelihara Akhlak dan Syariat Islam, juga adab-adab kesantunan Melayu malahan!

RAKYAT MENGIKUTI PEMIMPIN MEREKA

Kata ahli hikmah, “Agama manusia itu, di atas Pemimpin mereka”. Tinggi sahsiahnya, baik akhlaknya, ikhlas hatinya, patuh dan taat kepada Allah, maka begitulah jua rakyatnya. Rakyat akan terpengaruh dengan ketua mereka.

Malaysia hari ini, dalam keadaan yang benar-benar dahsyat bagi saya. Setiap masa perlu di dalam keadaan berjaga-jaga, kerana penjenayah menunggu kita alpa. Gerun saya melihatkan kanak-kanak yang bermain sendirian di halaman rumah, bimbang kalau-kalau ada manusia busuk hati yang berniat jahat kerana jenayah hari ini langsung tidak mengenal beza usia!

Budaya Hedonisme melampau. Nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan. Remaja Melayu Muslim tidak segan silu memakai pakaian yang jauh menyimpang daripada Islam dan adab Melayu. Tidak kekok mengogok arak di pesta-pesta jamuan nafsu. Saban hari ada sahaja kes bunuh bayi lewat pergaulan tanpa batas! Hari ini, remaja mati dengan sia-sia. Samada mati dalam ketagihan najis dadah, atau kemalangan dalam perlumbaan haram!

Bahkan seribu satu lagi, penyakit-penyakit sosial yang sedang membarah, membusuk di dalam negara tercinta!

Bukanlah saya menuding jari kepada Datin Seri dan suami, saya akui malahan, bahawa Datin Seri kelihatan cuba berusaha sedikit sebanyak bagi menangani masalah-masalah ini. Namun, hakikatnya, keadaan rakyat sesuai dengan keadaan pemimpinnya!

Manusia yang jelas disabitkan kesalahan rasuah, diangkat menjadi pemimpin! Manakala pemimpin lain yang mengkritik tindakan ini, di arah supaya tutup mulut dan diambil tindakan! Apa sudah jadi pada negara!? Sedangkan Nabi SAW bersabda, “Apabila amanah diberikan kepada BUKAN ahlinya, maka tunggulah KEHANCURAN!”

Pemimpin negara tidak memelihara adab pergaulan Islam, tidak memelihara batas aurat, berbelanja boros tanpa timbang rasa kepada rakyat, justeru, bagaimana mungkin kita mengharapkan yang baik-baik daripada rakyat?

Saya gerun melihat perkembangan ini, Datin Seri. Hari ini, kita mengeluh kerana ramainya anak-anak luar nikah yang didaftarkan. Bayangkanlah, apa yang mungkin kita keluhkan 5 atau 10 tahun akan datang!

Antara sifat agama kita, INQILABIYYAH Datin Seri. Ertinya, adil dan zalim mustahil begerak seiring. Kebenaran dan kebatilan sama sekali tidak akan bercampur. Syariat Islam dan yang bercanggah dengannya, pasti tidak akan ditemui titik temu antara keduanya. Justeru, Datin Seri berusahalah sehebat manapun untuk memperbaiki masalah sosial, gejala buang bayi dan sebagainya, selagi suami dan kerajaan Datin Seri terus mengesampingkan hukum Allah, dasar Allah, syariat Allah, maka Datin Seri tidak akan BERJAYA! Berani saya kata!

Bagaimana tidak? Datin Seri berusaha mengelakkan masalah bunuh bayi yang kita semua maklum ia bermula daripada pergaulan bebas, sedangkan hub hiburan malam, lesen judi dan konsert-konsert mega sebenarnya adalah penyumbang besar kepada masalah ini! Kerajaan pimpinan suami Datin Seri, umpama membina dan meruntuhkannya semula. Bina dan runtuh, kemudian bina dan runtuhkan lagi. Itulah kitarannya.

KUASA

Datin Seri ke luar negara untuk bertemu pemimpin negara luar, pernah juga Datin Seri menyambut kehadiran Perdana Menteri luar negara ke Malaysia, dana RM111 juta untuk PERMATA, pertemuan First Lady dan liputan-liputan meluas setiap aktiviti Datin Seri di media dalam dan luar negara, itu bagi saya menunjukkan yang Datin Seri seolah-olah punya kuasa di dalam pentadbiran negara.

Justeru, sebagai anak muda yang penuh persoalan di minda, saya bertanya dengan baik, bagaimana ini semua berlaku? Sedangkan, kami rakyat tidak pernah melantik Datin Seri sebagai pemimpin negara. Suami Datin Seri yang memimpin kerajaan yang telah dipilih rakyat melalui proses Pilihan Raya! Atau apakah dengan hanya menjadi isteri kepadanya, menjadikan Datin Seri turut berkuasa?

Datin Seri pasti tahu, berkenaan kebangkitan rakyat yang menyemarak di Timur Tengah. Kerajaan yang tidak bertimbang rasa diterjah dan dihalau rakyat! Antara isunya ialah bagaimana berkuasa dan kaya rayanya isteri kepada pemimpin-pemimpin yang telah tumbang itu.

Saya cintakan negara saya. Tidak sanggup saya melihat negara porak peranda, namun, kiranya Datin Seri berterusan mengikut jejak langkah isteri-isteri pemimpin yang tumbang itu, maka mungkin Datin Seri dan suami boleh menerima nasib yang sama. Kami rakyat semakin tidak tertanggung lagi dengan tekanan-tekanan kewangan dan keperluan hidup sekarang!

Datin Seri,
Surat ini bukanlah ancaman, bukan juga ugutan. Ia sekadar luahan rasa, nasihat dan pandangan yang cuba seorang anak muda sampaikan. Ingin benar saya ingatkan, kedudukan yang Datin Seri nikmati hari ini, adalah kerana rakyat memilih suami Datin Seri. Kuasa di tangan kami, untuk menentukan jatuh dan bangunnya Datin Seri dan suami. Dan sebenarnya, kami rakyat hanyalah ‘jalan’ bagi Allah untuk mengatur ketentuan ini, Allah jualah yang meletakkan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Justeru, berbaiklah dengan kami. Patuhilah suruhan Allah. Kami tidak pinta lebih, sekadar bertimbang-rasa untuk kami.

Datin Seri yang dihormati,
Surat ini mungkin sampai ke tangan Datin Seri. Mungkin sampai sendiri, atau terhenti di tangan pembantu-pembantu Datin Seri atau tidak mampu hampir sama sekali. Kiranya ia selamat sampai ke tangan Datin Seri, saya pohon maaf, kalaulah surat kecil saya ini mengguris rasa Datin Seri. Maafkan saya, kalau ia kerana kesilapan-kesilapan bahasa dan cara penulisan. Namun, andainya Datin Seri terasa hati kerana menerima teguran, tidak akan saya pohon maaf untuk itu! Teguran ini adalah benar, justeru tiada apa yang perlu saya risaukan dengan kebenaran. Ia pasti menang dan tertegak

*Nota:
Diambil dari blog Laman marhain untuk renungan kita bersama.

Friday, 18 February 2011

Sejarah Ringkas Geneokologi Generasi Tok Wan Nasir & Tok Som


Alhamdulillah,marilah sama-sama kita mengatur setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terhingga kita kehadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk sama-sama merasai akan nikmat Islam dan juga menjadi sebahagian dari anakcucucicit generasi keluarga ini yang kita harapkan dan kita percaya ianya adalah kesinambungan daripada generasi terdahulu yang merupakan pembawa ISLAM ke nusantara ini....
Wallahuallam.

Kisah geneokologi family tree keluarga ini mula tercetus untuk diperbincangkan apabila terbaca cerita-cerita yang dibincangkan diantara anakcucucicit toksom tokwan nasir didalam ruangan facebook tempohari....mulanya Najmi Pak Nyang yang bagitau kat Hadri Tehmah ngan Bang Muhammad Mukhlis pasai salasilah keturunan Tok Wan Nasir yang katanya adalah dari keturunan campuran Aceh + Pakistani yang berhijrah keTanah Melayu membawa diri dari keluarga yang asalnya katanya dari keturunan Teuku Daud Barueh Aceh tu...

Pak Su pun tak berapa tau juga pasai Teuku daud Barueh ni pasai tak ambik sejarah masa SPM dulu...tapi baru-baru ni lalu kot Yan nak pi mandi dengan family kat Chalet Puteri Ayu,ataih sikit dari Maktab Mahmud Yan tu ada la nampak banyak lorong yang guna nama Teuku ni...dulu ingat depa eja silap...nak tulih Tengku ka Tunku ka tapi silap eja Teuku,tapi rupanya ada juga sejarah tentang Teuku ni... belajar sains la katakan sampai tak tau sejarah,tu yang lani depa wajibkan semua kena amik sejarah tu...pasai lupa sejarah,..harap-harap sejarah Islam tu tau la sikit-sikit kot...

Sejauh mana kesinambungan cerita sejarah keluarga kita ni tak tau la...tapi Najmi kata dia dengar dari ayahnya dari cerita arwah Pak Lang Aziz yang dengar dari Tuan Gurunya masa belajar kat Madrasah di Pokok Sena, Seberang Perai dulu ....kata Najmi lagi Arwah Tok Nek Mah, mak Tok Wan Nasir dulu tu ayah dia kata memang muka macam campuran Pakistan sikit la..dan adik beradik sebelah arwah Tok Rejab ayah Tok wan Nasir pun katanya nak macam mamak ataupun mami juga ....wallahuallam.

Pak su pun tak dan nak jumpa Tok Wan pun...kecik lagi Tok wan dak tak dak...katanya tok wan Nasir pun macam tu juga la..ayah dia Tok Nek Rejab tu tak dak awai lagi....katanya mati akibat dengki orang nak juga kat Tok Nek Mah....masa dulu-dulu tu mungkin terkena racun la kot dan sebagainya....la ni pun gejala macam ni dak mula nak membiak balik....macam-macam dak berlaku dalam masyarakat...sihir la...apa la...dia mai balik...semoga arwah Tok Wan dan Tok Nek Rejab termasuk didalam kalangan hamba Allah yang beriman hendaknya...moga doa kita anakcucucicit mereka sedikit sebanyak meringankan mereka disana....siapalah kita tanpa mereka semua...

Kalau perati pun tengok muka-muka adik-beradik belah arwah Tok wan nasir tu macam hat dok ada lagi la...macam Tok Ngah Tiah anak Tok Nek Yeng yang dok di Tanjong Musang tu memangla muka ada erab kepakistani sikit.....tengok hat muda-muda macam Pak Cik Yusof dan Mak long Ropeah kat Alor Rela ada la erab-erab Pakistan tu....
Kalu tengok belah keluarga anakcucucicitToksomTokwannasir sendiri pun ada juga rupa tu sorang dua dari satu dua keluarga....cuba kita pakat-pakat perati tengok.....

Bila Arwah Tok wan pun meninggalkan kita awai..dipanggil balik oleh Allah SWT pencipta kita semua..,jadi banyak juga yang kita tak tau..jadi geneokologi atasan tu dia terputus macam tu sajala...nasab atasan tu kita tak berapa tau....kalau tau mungkin kita ni pun mai sekapai jugala dari sebelah Arab Yamen/Pakistan sana juga kot, menshohehkan lagi cerita ni la......baguih la juga harap-harap tu dari generasi yang mai membawa syiar ISLAM kebumi Malysia ini....tang tu kita kena rasa syukur ....pasai titih asai tu dari generasi yang kita harapkan cintakan Islam ni... dan adalah menjadi harapan agar kita generasi seterusnya ini juga adalah pembawa risalah yang sama diatas mukabumi Allah SWT ini.....moga doa-doa orang terdahulu datuk nenek moyang kita itu mendapat pekenan dari Allah swt.....

Ni yang kita cerita dari sebelah Tok Wan Nasir...dari sebelah Tok Som pula..rasanya pun tak kurang juga la Tok Nek Hj Ariff kita tu...dulunya rasanya pernah la juga sembang-sembang dengan arwah Tok Som sambil-sambil Tok Som dok makan pinang kat beranda rumah lam tu..ada la dok bercerita...Tok Nek Hj Ariff adalah ketua Kampong, bila Tok Nek Arif meninggai baru ganti dengan Tok Ayah Hj Ismail,Tok wan Pak Lang Ye,ayah Tok Ngah Halimah dan lain-lain paih tu baru pi kot belah Tok Raja Bharu nu...Tok Nek Hj Ariff tu, dialah diantara yang mula-mula buka Kampong Petani ni selain dari Tok Raja Bharu dan beberapa yang lain....kalu tak silap Paksu depa tiga beradik iaitu Tok Nek Hj Ariff,Tok Ayah Hj Ismail dan Tok Nek Mek iaitu Tok Pak Nyang Husni,mak mertua Tok Chik Timah.....

Salasilah awai lagi tu Pak Su pun tak berapa tau,rasanya Tok Nek Hj Ariff ni sepupu dengan Tok Hj Awang Kecik,ayah Pak Su Ayob,Tok Wan kepada Syam hat dok beli padi,Tok wan kepada Rahim bunga,Pak Cik Kark bahulu dan lain-lain lagi la generasi dari kampong minangkabau nu........

Jadi bila kita tau sedikit tentang sejarah geneokologi keluarga kita tu insya Allah adalah dari pembawa Islam kenusantara ini, adalah menjadi harapan agar kesinambungan titih-titih pendakwah ini dapat diteruskan..dan Insya Allah..telah wujud dikalangan kita,Alhamdulillah ada Ustaz-ustaz yang buat kerja ni...dan sebenarnya tugas ini bukan hanya terletak dibahu para-para ustaz saja..kita semua, kita perlu merasai akan amanah ini.. amanah sebagai pembawa risalah Nabi Muhammad SAW diatas mukabumi ini.. tugas Khalifah Allah yang cukup besar yang perlu sama-sama kita pikul....sebenarnya inilah Tugas kita yang utama...wa aima apa kerjaya kita,jadikan ianya bidang yang kita nak bawa Islam dalam kehidupan ini...corakkan keluarga kita dengan corak Islam yang sebenar...inilah harapan kita...yakinlah bahawa Islam pasti akan menang...Islam pasti akan berjaya....inilah geneokologi sebenar kita sebagai pembawa risalah ini... geneokologi keluarga Nabi Allah ADAM dan HAWA alaihissalam....manusia pertama yang menjadi Tok Wan dan Tok kita.....alhamdulillah....

wallahuallam.....
* Sekadar renungan bersama...
Yang baik adalah dari Allah SWT jua dan yang kurang baik tu adalah dari diri Pak Su sendiri......

Monday, 7 February 2011

Untukmu Generasiku.....


Assalamualaikum wrth.
Alhamdulillah,syukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan izin serta limpah perkenanNya jua kita masih mampu lagi untuk bernafas dan melakukan aktiviti harian kita diatas mukabuminya ini...Syukur kita dengan anugerah Allah SWT yg amat besar kepada kita semua iaitu nikmat untuk dapat merasai ISLAM itu sendiri yg cukup besar dan amat bermakna buat kita semua ....
Dikesempatan ini,sebagai moderator kepada blog kita ini inginlah Pak Su/Tok Su mengajak AnakcucucicitTokSomTokWanNasir sekelian untuk sama-sama turut serta dalam memeriahkan lagi blog kita ini dengan info-info dan bahan-bahan yang bermunafaat ....
Adalah diharapkan lain-lain contributors boleh memuatkan sesuatu untuk renungan atau apa2 saja berita buat tatapan kita semua....
Buatmu generasiku inginlah kunukilkan sesuatu untuk sama-sama difikirkan....

Bangunlah Generasiku......

Salam buat generasiku......
Anakcucucicit TokSomTokWanNasir sekelian....
Andalah bunga-bunga segar buat generasi ini.....
Andalah bunga-bunga segar juga buat ummat ini....
Ayuh bangunlah....
Bangunlah....
Bangunlah wahai generasiku......
Bangunlah.....
Anda semua adalah orang2 yang hebat yang telah dipilih oleh ALLah SWT......
Pergunakanlah anugerah Allah tersebut untuk ummat ini dan generasi seterusnya......
Ayuh bangunlah.... apa yang ditunggu lagi ...
Buatlah satu perubahan dan anjakan paradigma untuk ummat ini dan generasi seterusnya....
Apakah kita masih mahu terus tidur tanpa apa-apa perubahan ...
Atau...
Apakah kita telah selesa dengan apa yang ada dan tidak perlu untuk melakukan apa-apa lagi buat generasi kita dan ummat seterusnya......
Atau apakah kita masih lagi leka dibuai dan diulit mimpi-mimpi indah....
Ayuh bangunlah...
Bangunlah angkatan generasi baru sekelian...
Kalian semualah tonggak buat generasi hadapan ....
Pada siapa lagi nak kita harapkan...
Tiada orang lain lagi selain kita untuk ummat yang akan datang ini,Insya-Allah....
Ayuh bangunlah wahai generasiku...
Bangunlah....
Seruan ini ditujukan buat kalian anakcucucicitTokSomTokWanNasir semua...
Usah berlengah lagi....
Usah ditunggu lagi.....
Usah ditangguh lagi....
Sudah lama kita bertangguh....
Usah cemburu mencemburui lagi sesama kita...
Usah ada lagi rasa hati diantara kita.....
Buangkan semua sifat-sifat tersebut.....
Buangkan jauh-jauh dari kita......
Kita adalah generasi baru yang perlu kepada perubahan....
Kita adalah generasi baru yang diberi Allah pendidikan....
Kita adalah generasi baru yang punya nilai-nilai ISLAM yang murni.....
Kitalah......
Ayuh.....
Jadilah ruangan dan blog ini sebagai salah satu dari wadah perjuangan kita....
Mana semua anda-anda yang hebat dari titis-titis generasi cucucicittoksomtokwannasir sekelian....
Mana kalian....
Marilah sama-sama kita gabungkan ....
Jadikan diri kita lidi-lidi kecil yang mampu menjadi penyapu yang bersatu buat generasi ini....
Ayuh...marilah....
Anda adalah bloggers muda yang pasti lebih hebat....
Ayuh Generasi HEBAT ..
Bangunlah....
Sesuatu yang baik InsyaAllah akan diberi jalan oleh Allah SWT...
Buatlah sesuatu dari generasi ini untuk generasi ini dan seterusnya....
Banyak yang perlu kita sama-sama fikirkan untuk generasi dan ummat ini..
Banyak yang perlu kita buat....
Jangan kita ditanya kemudian.....
Lakukanlah sesuatu buat generasi dan ummat ini...
Lakukanlah...
Fikirkanlah...
Jangan kita jadikan kita hanya orang-orang yang selesa dengan anugerah yang merupakan amanah Allah buat kita semua ini....
Apakah amanah untuk generasi kita ini tak mampu untuk sama-sama kita gembeling dan fikirkan....
Keselesaan hari ini belum menjamin untuk keesokannya......
Fikirkanlah....
Kita-kita semua mungkin akan pergi dan tak lama lagi...
Tapi...bagaimana generasi kemudian.....
Apa yang nak kita tinggalkan buat mereka...
Apakah mungkin mereka akan terkial-kial ditinggalkan .....
Fikirkanlah dari apa saja segi sekalipun....
Anda semualah orang-orang terpilih yang HEBAT untuk generasi seterusnya...
Diatas bahu anda semualah terletaknya tugas ini....
Diatas pundak anda-anda semualah wahai generasiku....
Ayuh...marilah.....
Mungkin....
Blog ini boleh dijadikan sebagai salah satu dari wadah-wadah tersebut untuk sama-sama kita berhubung dan menzahirkan sesuatu.....
Blog ini boleh diguna untuk sama-sama kita gembelingkan apa saja ....
Apa perlu disembunyi dan disimpan lagi sesama kita....
Kita perlu garapkannya untuk generasi kita......
Kita adalah generasi HEBAT yang dilahirkan kedunia ini....
kerana kita yakin....
Kerana kita yakin bahawa...
Yang lebih baik dikalangan kita disisi Allah SWT adalah siapa yang lebih TAKWAnya dalam hubungannya dengan Allah SWT itu sendiri....
Ayuh ...
Bangunlah...
Bangunlah...
Wahai GENERASIKU.........

PakSu Jaman
Alor Setar, 8Februari 2011,1.30pagi.

Saturday, 22 January 2011

Surat Cinta Buat Hati Yang Lesu

Surat ini kutujukan untuk diriku sendiri serta saudara-saudaraku yang Insya Allah tetap mencintai Allah swt dan Rasul-Nya di atas segala-galanya. Kerana hanya cinta itulah yang dapat mengalahkan segalanya, cinta hakiki yang membuat manusia melihat segalanya dari sudut pandang yang berbeza, lebih bermakna dan indah.

Surat ini kutujukan pula untuk jiwaku serta jiwa saudara-saudaraku yang mulai lelah menapaki jalan-Nya, ketika seringkali mengeluh, merasa terbebani bahkan terpaksa untuk menjalankan amanah dakwah yang sangat mulia. Padahal tiada kesakitan, kelelahan, serta kepayahan yang dirasakan oleh seorang hamba melainkan Allah swt akan mengampuni dosa-dosanya dan memberinya ganjaran dengan sebaik-baik ganjaran.

Surat ini kutujukan untuk hatiku dan hati saudara-saudaraku yang kerap kali terisi oleh cinta selain-Nya, yang mudah sekali terlena oleh indahnya dunia, yang terkadang melakukan segalanya bukan kerana-Nya. Lalu di ruang hatinya yang kelam merasa senang jika dilihat dan dipuji orang lain, entah dimana keikhlasan. Maka saat ini kurasakan kekecewaan dan kelelahan kerana kulakukan tidak sepenuhnya berlandaskan keikhlasan, padahal Allah tidak pernah menanyakan hasil. Dia hanya akan melihat kesungguhan dalam berproses dan dalam berusaha.

Surat ini kutujukan untuk ruh-ku dan ruh saudara-saudaraku yang mulai terkikis oleh dunia yang menipu, serta membiarkan fitrahnya tertutup oleh maksiat yang membiarkannya untuk dinikmati. Lalu dimanakah kejujuran diletakkan ? , dan kini terabaikan sudah secara nurani yang bersih, saat ibadah hanya rutin semata, saat fizikal dan fikiran disibukkan oleh dunia, saat wajah menampakkan kebahagiaan yang tepu. Cubalah sejenak luangkan waktu untuk melihat hatimu menangis, tertawa, atau merana.

Surat ini kutujukan untuk diriku dan saudara-saudaraku yang sombong, yang terkadang bangga pada dirinya sendiri, sungguh tiada satupun yang membuat kita lelah di hadapan-Nya, selain ketaqwaan. Padahal kita menyedari bahawa tiap-tiap jiwa akan merasakan mati namun kita masih leka dengan kefanaan.

Surat ini kutujukan untuk hatiku dan hati saudara-saudaraku yang mulai mati, saat tiada getar penyesalan ketika kebaikan terlewat begitu saja, saat tiada rasa berdosa ketika menzalimi diri dan saudaranya.

Akhirnya, surat ini kutujukan untuk jiwa yang masih memiliki cahaya meskipun sedikit, cubalah kau jaga agar cahaya itu tidak padam. Maka terus kumpulkan cahaya itu hingga ia dapat menerangi wajah-wajah di sekelilingnya, memberikan keindahan Islam yang sesungguhnya. Hanya dengan kekuatan dari-Nya. Ya Allah saksikanlah, sesungguhnya aku telah menyampaikan. Wallahu ’alam bish-shawab.

Semoga tetap istiqamah di jalan-Nya. Sungguh, syurga takkan pernah pantas ditukar dengan lalai dan kemalasan.
Dari Saudaramu yang mencintaimu kerana Allah ...
Ibnu Sa'id Al Faqir
* Surat ini adalah diambil dari ruangan artikel Haluan untuk tatapan kita semua,....