Saturday 18 September 2010

Puasa Enam


Soalan: Saya ingin bertanya tentang puasa enam pada Bulan Syawwal. Sejauh manakah kekuatan amalan tersebut? Apakah kita patut puasa selepas hari raya atau mana-mana hari pada Bulan Syawwal? Semasa saya balik kampong, saya berpuasa pada hari raya kedua, isteri saya pula meminta saya berbuka untuk meraikan keluarga yang jarang berjumpa supaya dapat makan bersama. Saya rasa berat sebab kawan-kawan ramai yang terus berpuasa selepas raya. Niat saya hendak beraya puasa enam bersama mereka. Boleh Ustaz jelaskan apa pilihan terbaik untuk saya?

Jawapan: Selamat Hari Raya
TaqabbalLah Minna wa Minkum (semoga Allah menerima amalan kami dan kamu).
Tahniah juga kepada saudara penanya yang berusaha menjaga amalan sunnat.
1. Asas kepada amalan puasa enam hari pada Bulan Syawwal ini ialah sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll).

2.
Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa puasa enam hari pada Bulan Syawwal adalah sunat. Walaupun al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H) menganggap makruh puasa enam hari pada Bulan Syawwal, namun pendapat tersebut dianggap tidak kuat. Dalam al-Muwatta riwayat al-Imam Malik bin Anas disebutkan:
“Malik berpendapat mengenai puasa enam hari selepas Idil Fitri bahawa beliau tidak pernah melihat ilmuwan dan ahli fekah melakukan puasa tersebut. Tidak sampai kepadanya apa-apa riwayat daripada ulama salaf mengenai hal itu. Ilmuwan memakruhkan puasa tersebut. Mereka bimbang kebidahannya. Bimbang golongan jahil mengaitkannya dengan Ramadan”. (al-Muwatta’, 1/330 –bil: 857. Beirut: Muassasah al-Risalah).
Maksudnya, beliau menyatakan makruh sebab beliau tidak melihat ahli ilmuwan di Madinah ketika itu mengamalkannya dan bimbang puasa tersebut dianggap wajib oleh mereka yang jahil. Adapun riwayat hadis di atas yang menggalakkan puasa enam hari Syawwal dianggap tidak kukuh disebabkan rawi Sa’d bin Sa’id bin Qais adalah masalah hafalan maka dianggap tidak kuat jika dia bersendirian (infirad) dalam riwayat. Di samping itu al-Imam Malik mengukurnya dengan amalan ilmuwan Madinah pada zamannya yang beliau dapati tidak mengamalkannya.

3. Namun hadis ini dianggap sahih oleh majoriti ilmuwan hadis. Walaupun Sa’d bin Said bin Qais mempunyai sedikit masalah, tetapi hadis ini ada mutaba’ah (jalur rawi yang lain) seperti Sofwan bin Sulaim dan selainnya. Maka hadis ini sahih dari segi ilmu hadis. Ketika mengulas kenyataan al-Imam Malik yang melihat tiada ilmuwan pada zamannya mengamalkan puasa enam tersebut, al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) berkata:
“Apabila sunnah itu telah sabit, maka ia tidak ditinggalkan hanya kerana ia tidak diamalkan oleh sebahagian, atau kebanyakan atau semua orang sekalipun” (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 8/238, Beirut: Dar al-Khair).
Maksud al-Imam al-Nawawi, kita tidak patut meninggalkan sesuatu sunnah Nabi s.a.w hanya kerana melihat orang lain tidak mengamalkannya sedangkan ia telah terbukti sahih riwayat tersebut di sisi ilmuwan hadis dan tiada nas sahih lain yang boleh menolak amalan tersebut. Inilah pendirian sepatutnya terhadap sunnah-sunnah Nabi s.a.w. Jika para ulama di Madinah pada masa al-Imam Malik bin Anas yang ketika masih ramai tabi’in dan sarjana-sarjana besar tidak dijadikan hujah bagi menolak amalan sunnah, apakah kita hari ini kita menolak sesuatu hadis hanya kerana orang Malaysia tidak mengamalkannya, atau ulama Malaysia tidak mengamalkanya? Sudah pasti itu dilakukan, maka terhapuskan banyak sunnah-sunnah Nabi s.a.w.

4. Berasaskan hadis ini maka kita dapat fahami bahawa sesiapa yang melakukan dua perkara; pertama, berpuasa pada bulan Ramadan. Kedua, berpuasa enam hari pada Bulan Syawwal. Maka ganjarannya seperti dia berpuasa setahun. Ertinya, jika dia hanya berpuasa Ramadan sahaja tanpa enam hari pada bulan Syawwal, dia tidak memperolehi fadilat ini. Demikian juga jika dia hanya berpuasa enam hari pada bulan Syawwal tanpa diselesaikan puasa Ramadan, maka dia juga tidak memperolehi fadilat ini.

5. Berdasarkan aturan ungkapan dalam hadis ini, maka yang terbaik seseorang yang mempunyai qada puasa Ramadan, sebaiknya hendaklah menyelesaikan qada (gantian) Ramadan dahulu kemudian diikuti enam hari pada Bulan Syawwal. Jika tidak berkesempatan lalu berpuasa enam dahulu dan qada selepas itu, mudah-mudahan amalan itu tetap diterima Allah kerana secara umumnya dia menunai keduanya, cuma tidak berdasar susunan sahaja.

6. Terdapat perbezaan dalam kalangan ulama; apakah afdal ditunai puasa enam hari pada bulan Syawwal itu sebaik sahaja selepas hari raya secara berturut-turut, atau mana-mana enam hari pada bulan Syawwal itu sama sahaja. Pendapat Mazhab Ahmad samada ditunaikan berturut-turut atau tidak adalah sama sahaja. Pendapat Mazhab Hanafi dan Syafi’i: Afdalnya berturut-turut selepas hariraya (lihat: Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah 1/380, Beirut: Dar al-Fikr).

7. Walaupun di sana ada yang berpendapat yang afdalnya adalah berturutan selepas hariraya disebabkan ungkapan ‘kemudian dia susulinya’, namun fadhilat puasa enam ini tetap diperolehi oleh sesiapa sahaja yang berpuasa enam hari tersebut dalam bulan Syawwal sekalipun bukan berturut-turut selepas hari raya. Kata al-Imam al-Nawawi:
“Afdalnya dilakukan puasa enam hari berturut selepas hari raya. Jika dilewatkan sehingga akhir Syawwal tetap mendapat fadilat ‘disusuli enam hari’ kerana ia menyusuli enam hari dalam bulan Syawwal” (Syarh Sahih Muslim, 8/238).

8. Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi ketika menjawab persoalan tentang mestikah puasa enam Syawwal itu berturut-turut selepas hari raya atau tidak, berkata:
“Tidak semestinya dia berpuasa terus selepas hari raya. Bahkan harus untuk dia memulakan sehari atau beberapa hari selepas hari raya. Samada dia hendak berpuasa bersambungan ataupun berpecah-pecah dalam bulan Syawwal. Ia berdasarkan apa yang mudah baginya. Perkara ini luas (pilihannya)”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah, 10/391).

9. Oleh kerana hari-hari puasa enam Syawwal itu ada pilihan, sementara kadang-kadang waktu kemeriahan keluarga itu sukar diperolehi melainkan seperti pertemuan semasa cuti hari raya ini, maka eloklah seseorang tidak berpuasa sunat pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera. Dia boleh berpuasa pada hari-hari lain yang masih berbaki. Puasa sunnat digalakkan, namun menjaga hubungan silaturrahim dan perasaan kaum keluarga juga amat penting. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w, daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:
“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Dalam riwayat lain oleh al-Tabarani dalam al-Ausad baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda: “saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata ‘aku berpuasa!!). Jelas, baginda tidak menggalakkan berpuasa jika ada jamuan demi menjaga perasaan sahabat handai. Maka menjaga perasaan kaum keluarga lebih utama.

10. Tiada dalam Islam apa yang dinamakan dengan ‘hariraya puasa enam’. Tiada juga ibadat khusus hari raya puasa enam Syawwal seperti ‘solat tasbih hariraya puasa enam’ yang dibuat di sesetengah tempat. Ini semua perkara yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Sabda Nabi s.a.w.:
“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak”. (Riwayat Muslim).
Solat tasbih jika hendak dilakukan, jangan dikaitkan dengan hariraya puasa enam atau sebagainya.


Diambil dari artikel yang disiarkan di Internet….. sekiranya ada kebaikan ianya adalah dari Allah SWT jua dan kelemahan adalah dari kita sendiri….

Wallahuallam……

Pak Su Jaman

Thursday 9 September 2010



Eid Mubarak
Salam Eidul Fitri dari Pak Su Jaman & Mak Su Jamaliah serta anak-anak sekeluarga.
' Taqabbalallahuminnawaminnkum '
( Semoga Allah Menerima Amal Kami Dan Amal Kamu )

Semoga Eidul Fitri kali ini memberi erti dan makna untuk kita semua anakcucucicittoksom....

Wassalam......

Wednesday 8 September 2010

Pengertian Dan Keutamaan Syawal



Oleh : Abu Basyer dan diedit semula oleh Abu Muadz

Assalamualaikum wrth.
Semoga anakcucucicittoksom semuanya berada didalam rahmat Allah SWT jua hendaknya.

Syukur kita kehadrat Allah SWT yang telah memberi kita lagi kemampuan dan juga kekuatan hingga kesaat ini untuk sama-sama meneruskan sedikit lagi dari baki-baki kehidupan kita diperhentian sementara ini,semoga diperjalanan ini dapatlah kiranya kita sama-sama mengutip bekalan untuk kita persembahkan nanti dihadapan Rabbul Jalil Allah SWT, tuhan dan rabb kita apabila kita sampai dipengkalan yang kekal nanti,Insya Allah.Semoga sedikit bekalan yang dapat kita pungut dari Ramadhan kali ini diterima Allah SWT dengan izin dan rahmatnya.

Anak cucucicittoksom yang dirahmati Allah sekelian,
Tinggal beberapa jam saj lagi kita akan sama-sama menyambut kedatangan Syawal 1431H yang bakal tiba.Apabila tiba sahaja 1 Syawal maka kita umat Islam keseluruhannya akan meraikan salah satu dari hari-hari kebesaran yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita iaitu Hari Raya Aidul Fitri. Salam Eidul Fitri untuk kita semua anakcucucicittoksom , 'Taqabbalallahu min na wa minkum' (semoga Allah terima amal kami dan amal kamu) serta Selamat Hari Raya Eidul Fitri Maaf Zahir dan Batin.

Dibulan ini kita umat Islam akan menyambut Hari Raya Eidul Fitri, dengan suasana yang penuh dengan kegembiraan bertemu dengan kaum keluarga, sanak saudara, teman dan taulan, bermaaf-maafan dan saling ziarah menziarahi antara satu sama lain. Juadah enak berbagai bentuk dan rasa disajikan, kueh mueh dan hidangan istimewa menanti para tetamu yang datang berziarah menandakan ikatan silaturahim bertambah erat diantara sesama muslimin.

Anakcucucicittoksom yang dimuliakan sekelian,
Bulan Syawal adalah bulan yang sangat istimewa kerana sepanjang bulan ini adalah merupakan Hari Raya. Hari kemenangan dan kegembiraan, hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan. Terdapat banyak keistimewaan di bulan Syawal, di antaranya:

Pertama :Bulan Syawal adalah bulan keampunan.

Sabda Rasulullah s.a.w dan Ibnu Mas'ud r.a. yang maksudnya:"Apabila mereka berpuasa sebulan Ramadan lalu pergi untuk mengerjakan solat Aidil Fitri, Allah Taala berfirman:
"Hai para Malaikat-Ku, tiap-tiap orang yang beramal itu mengharapkan pahalanya, dan para hamba-Ku yang berpuasa dalam bulan Ramadhan lalu menunaikan solat Hari Raya juga mengharapkan pahalanya, maka oleh kerana itu saksikanlah, bahawa sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka."

Lalu ada seruan: "Hai umat Muhammad, kembalilah kamu ke rumahmu masing-masing, sesungguhnya semua kejahatanmu telah diganti dengan kebaikan.”

Maka Allah Taala berfirman: "Hai para hamba-Ku, kamu semua telah berpuasa untuk-Ku dan juga telah berbuka untuk-Ku, oleh kerana itu bangkitlah kamu semua, kamu semua telah diampuni."(Zubdatul Wa'izhiina)

Syaitan dan nafsu sentiasa berusaha untuk melalaikan manusia supaya terpesong dan jauh dari rahmat dan keampunan Allah s.w.t. Dari Wahab bin Munabbih, bahawa dia berkata: Nabi s.a.w. bersabda maksudnya :"Sesungguhnya Iblis yang dilaknat Allah itu berteriak pada setiap hari Raya, maka para bala tenteranya berkumpul di sekitarnya sambil berkata: "Wahai sri baginda kami, siapakah yang menjadikan baginda murka, maka sesungguhnya dia akan kami hancurkan."

Iblis berkata: "Tidak ada sesuatu pun. Akan tetapi Allah Taala pada hari ini telah mengampuni umat ini. Maka kamu semua harus membuat mereka sibuk dengan segala macam yang lazat-lazat, dengan syahwat dan dengan minum khamar, sehingga Allah murka kepadanya."

Orang-orang yang berakal hendaknya dapat menahan dirinya pada hari Raya, dari segala macam nafsu syahwat serta dari segala yang dilarang, bahkan hendaknya selalu taat untuk-Nya.

Kedua : Bulan yang dikabulkan do'a dan Allah s.w.t melihat dengan rahmat kasih sayangNya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Bersungguh-sungguhlah kamu semua pada Hari Raya Fitri dengan bersedekah dan amalan-amalan yang baik, yang bagus dari solat, zakat, tasbih, tahlil kerana sesungguhnya hari ini Allah Taala mengampuni semua dosa kamu. mengabulkan semua do'amu dan melihat kamu semua dengan kasih-sayang."(Durratul Wa'izhiina)

Awal pagi Syawal kita disunatkan sembahyang hari raya dan Allah s.w.t menjanjikan keredaan dan kempunan-Nya. Bersabda Nabi s.a.w maksudnya :"Apabila Hari Raya Fitri, maka Allah mengirim para Malaikat. Maka para Malaikat sama-sama turun ke bumi di setiap daerah, lalu mereka berkata: "Hai umat Muhammad, keluarlah kamu semua kepada Tuhan Yang Maha Mulial" Maka ketika mereka telah tampak keluar ke tempat solat mereka,

Allah berfirman: "Hai para Malaikat-Ku, saksikanlah olehmu semua, bahawa sesungguhnya telah-Ku jadikan pahala mereka atas puasanya itu, keredaan-Ku dan ampunan-Ku."

Ketiga : Bulan yang merupakan peringatan kepada hari akhirat.

"Sesungguhnya hikmah Hari Raya di dunia ini merupakan peringatan terhadap Hari Raya di akhirat. Apabila engkau melihat orang-orang, sebahagian dari mereka ada yang pergi dengan berjalan, sebahagian lagi ada yang berkenderaan, sebahagian dari mereka ada yang berpakaian dan ada juga yang tidak berpakaian, sebahagian mereka ada yang memakai pakaian yang indah dan sebahagian yang lain ada berpakaian biasa dan sebahagian ada yang tertawa riang dan sebahagian lain nya ada yang menangis, maka ingatlah perjalanan di hari kiamat, sesungguhnya hai itu pun demikian pula."

Anakcucucicittoksom yang dikasihi,
Disaat inilah akan teruji madrasah Ramadhan yang telah berlalu selama sebulan. Adakah segala amal ibadah dan amal soleh yang telah dilaksanakan dapat direalisasikan di dalam bulan Syawal ini?. Ketaqwaan merupakan natijah Ramadhan .adakah ketaqwaan akan menghiasi hidupmu dan menjadi pakaian yang sentiasa nampak zahir di dalam amalan kehidupan harian? Ingatlah! Taqwa adalah pakaian orang-orang Mukmin, yang sentiasa menghiasi peribadi dan akhlak mereka. Amalan terbaik di bulan ini adalah puasa sunat enam hari mengiringi puasa Ramadhan. Nabi s.a.w berwasiat pada Sayyidina Ali r.a. yang bermaksud :

"Wahai Ali! Barangsiapa yang mengikut sertakan puasa Ramadhan dengan enam hari di bulan Syawal, Allah menulis baginya pahala puasa satu tahun penuh."

Anakcucucicittoksom yang dihormati sekelian,
Teruskanlah amalan-amalanmu yang telah dilakukan pada bulan Ramdhan, untuk dilaksanakan pada bulan Syawal ini dan bulan-bulan yang akan datang. Bangunlah untuk berqiyamulail dan bertahajjud, berwitir dan membaca al-Qur'an. Pastikan solat fardu di masjid, menghadiri majlis ilmu, sentiasa berwuduk dan tidak meninggalkan solat dhuha. Ringan-ringankan tangan bersedekah pada fakir miskin, anak-anak yatim dan untuk amal jariah. Kurangkan makan dan minum kerana makan yang berlebihan boleh mendatangkan mudarat dan menambahkan penyakit dan boleh mengelapkan hati.

Akhirkata ingatlah bahawa belengu yang merantai Iblis dan syaitan telah terlerai. Mereka memulakan tugas baru setelah diikat dan disiksa oleh Allah s.w.t. Mereka ingin membalas dendam kerana dosa orang-orang beriman yang berpuasa telah diampunkan oleh Allah s.w.t. Mereka akan bekerja siang malam untuk mengoda dan menghasut anak Adam untuk melakukan maksiat dan dosa dan melupakan untuk mengingati Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w bertanya kepada Iblis bermaksud :"Wahai Iblis, apakah senjata yang dapat menghancurkan engkau?"

Berkata Iblis, "Ya Nabi Allah. Orang-orang yang banyak berzikir dan banyak bersedekah dengan bersembunyi (ikhlas hati) serta berbanyak-banyak taubat dan banyak membaca al-Qur'an Kalam Allah, dan banyak sembahyang di tengah malam. Itu semua akan menghancurkan aku".

Wallahuallam.....

Yang benar dari Allah SWT dan yang kurang adalah dari diri kita sendiri.

Kulillhaqwalaukanamurran....

Akhikumfiddeenn

Pak Su Jaman
( Abu Muadz )

Monday 6 September 2010

Hari-hari Terakhir Meraih Takwa Ramadhan 1431H


Alhamdulillah,Marilah kita panjatkan setinggi kesyukuran kita kehadrat Allah SWT kerana hingga kesaat ini kita masih dipanjangkan umur dan diberi kesempatan kepada kita untuk terus ber’ubudiyah kepada Allah SWT, khasnya di bulan Ramadhan yang kini telah masuk ke minit-minit terakhir bagi tahun ini.
Dikesempatan ini marilah kita terus berdo’a dan memohon kehadrat Rabbul Jalil Allah SWT agar kita turut termasuk kedalam kalangan hambanya yang mendapat janji-janji RahmatNya, KeampunanNya serta dibebaskan daripada azab di Hari Akhirat nanti. Seperti yang kita maklumi di sepanjang Ramadhan, Rasulullah s.a.w banyak berdo’a di samping ibadah dan amal kebaikan yang ditingkatkan semata-mata mencari keredhaan Allah SWT. Rasulullah s.a.w juga menggalakkan umatnya berdo’a ketika berbuka puasa kerana do’a ketika itu tidak ditolak oleh Allah SWT .
Hadis Rasullullah SAW;
Maksudnya: “Abdullah Ibn Amru bin al ‘As berkata : Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda bahawa sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika ia berbuka puasa terdapat do’a yang tidak ditolak.” (Hadis diriwayatkan oleh Ibn Majah.)
Ibn Majah juga meriwayatkan hadis daripada Abi Hurairah RA katanya (Abu Hurairah berkata) :
Maksudnya: “Terdapat tiga (3) do’a yang tidak ditolak (bahkan dimakbulkan oleh Allah) iaitu do’a imam yang adil, do’a orang yang berpuasa sehingga ia berbuka puasa dan do’a orang yang dizalimi.....”
Allah SWT memberi jaminan bahawa Allah sentiasa hampir kepada hamba-hambaNya.
Firman Allah di dalam ayat 186 Surah al Baqarah:
Maksudnya: “Apabila hamba-hambaKu bertanya kepada engkau (Rasulullah s.a.w) tentang Aku (Allah), maka beritahulah bahawa Aku sentiasa hampir dengan mereka. Aku perkenankan do’a orang-orang yang berdo’a. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (patuh kepada perintahKu) serta hendaklah mereka teguh beriman kepadaKu semoga mereka mendapat pertunjuk (ke Jalan yang betul).“


Walaupun Ramadhan sudah hampir meninggalkan kita, tetapi orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT amat sayang dan merasa sedih untuk berpisah dengan bulan yang penuh berkah ini. Abu Mas’ud al Ghifari RA pernah menyebut hadis Rasulullah s.a.w:
Maksudnya: “Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa-apa (kelebihan) di dalam bulan Ramadhan, nescaya hamba-hamba Allah ini bercita-cita agar bulan Ramadhan berlaku (berterusan) sepanjang tahun.“

Tetapi realitinya, majoriti masyarakat kini seolah-olah ingin segera keluar daripada Ramadhan dengan mengembar-gemburkan program-program Hari Raya yang sudah tersedia di kaca TV dan media massa. Dan lebih gamat lagi apabila dipestakan dengan pembakaran mercun, meriam buluh dan sebagainya sehingga menenggelamkan suasana ibadah kepada Allah, lebih-lebih lagi dibahagian akhir Ramadhan yang diberkati ini. Sedangkan sepatutnya dibahagian akhir Ramadhan inilah perlu kita lipatgandakan amalan-amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Baginda Rasulullah s.a.w melipatgandakan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT khusus dibahagian sepuluh hari yang akhir daripada bulan Ramadhan: tumpuan khusus kepada menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan istighfar, zikrullah, tilawah al Quran, solah dan do’a serta i’tikaf sehingga Baginda Rasulullah s.a.w mengejutkan ahli-ahli keluarganya sama-sama bangun menghidupkan malam Ramadhan.
Maksudnya: “Adalah Rasulullah s.a.w, apabila menjelang sepuluh hari yang akhir daripada Bulan Ramadhan, maka Baginda s.a.w menghidupkan malam-malam hari Ramadhan itu (dengan ibadah) dan mengejutkan ahli keluarganya (bangun beribadah) kepada Allah SWT. Dan Baginda s.a.w mengikat kukuh مئزر nya (ini adalah kata-kata sindiran bahawa Nabi s.a.w tidak mendekati isteri-isterinya dengan tujuan jimak) di dalam lingkungan masa tersebut.”
Bagi kita selaku umat Nabi Muhammad s.a.w, sewajarnya mengambil contoh daripada Sunnah Rasulullah s.a.w ini kerana di bahagian akhir Ramadhan ini terdapat satu malam yang dikenali sebagai lailatul qadar yang sangat besar kelebihan dan fadhilatnya: satu malamnya ini melebihi seribu bulan seperti yang telah dinyatakan didalam artikel sebelum ini.
Sesiapa yang Allah SWT pertemukan dengannya ketika beribadah pada malam itu maka itu adalah kurniaan dan nikmat daripada Allah SWT. Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui siapakah di kalangan hamba-hambaNya yang benar-benar ikhlas dan sungguh-sungguh melaksanakan ‘ubudiyah kepada Allah dengan penuh ketaatan. Namun, Rasulullah s.a.w memberi rangsangan dan mengesa orang-orang yang beriman, menuntut dan mencarinya dengan qasad dan niat mentaati Allah dan beribadah kepadaNya semata-mata.
Abu Said al Khudri RA, juga Abu Dzar RA pernah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Maksudnya: “Carilah malam tersebut pada bahagian sepuluh yang akhir daripada Bulan Ramadhan pada setiap (malam) ganjil.” (Muttafaq ‘alaih)
Menurut Fadhilah as Syeikh Darwis Mustafa Hasan dalam kitabnya Hakikat Puasa menjelaskan; oleh kerana penentuan malam ganjil kemungkinan tidak tepat kerana bergantung kepada kepastian awal bulan dan akhir bulan, maka sewajarnya sepuluh malam yang akhir daripada Ramadhan itu dilipatgandakan ‘ubudiyah kepada Allah pada seluruh malam tersebut.
Demikianlah Ramadhan yang sewajarnya diberi perhatian dan penekanan oleh umat Nabi Muhammad s.a.w. Ramadhan yang disifatkan sebagai Madrasah Tarbiyyah (pusat didikan) bagi mengawal hawa nafsu, membentuk diri, menyucikan ruh serta memperteguhkan keimanan dan menambahkan bekalan dalam rangka meneruskan kerja-kerja Islam dengan semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.
Professor Muhammad Qutb di dalam kitabnya Manhaj Tarbiyyah Al Islamiyyah pernah membuat bandingan dan perumpamaan antaranya bahawa ibadah khusus di dalam Islam (seperti puasa, zakat, haji dan perkara-perkara yang berkaitan ibarat stesyen bagi orang-orang musafir berhenti mengambil bekalan untuk meneruskan perjalanan yang jauh. Tiada perjalanan yang lebih jauh lagi melainkan perjalanan untuk balik ke alam akhirat, yang tidak diketahui hujungnya. Maka sudah pastilah memerlukan bekalan secukupnya. Ingatlah bahawa sebaik-baik bekalan ialah taqwa.



Oleh itu janganlah sekali-kali dibiarkan diri kita dibawa arus keinginan dan kecenderungan masyarakat sehingga perkara-perkara ibadah itu bertukar menjadi adat dan tradisi serta budaya tanpa merujuk kepada ajaran al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Kepelbagaian ibadah di dalam bulan Ramadhan bukan mengikut hawa nafsu. Tetapi ianya berdasarkan ajaran Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Setiap sesuatu itu ada petunjuk serta hukumnya. Ada yang wajib, ada yang sunat, ada yang harus dan terdapat juga perkara-perkara yang diharamkan dan dimakruhkan.
Adalah amat dibimbangkan nanti amalan ibadah yang dilakukan itu hanya sia-sia sahaja seperti yang pernah disuarakan oleh Rasulullah s.a.w :
Maksudnya: “Berapa ramai orang yang berpuasa tidak ada apa yang dia dapat kecuali lapar dan berapa ramai orang yang bangun malam (solat), tidak ada apa yang dia dapat kecuali berjaga malam semata-mata (Riwayat An Nasa’ir, Ibnu majah dan Hakim)
Oleh itu sama-samalah kita menginsafi peringatan Rasulullah s.a.w itu semoga puasa, solat, tarawih, witir , tilawatul Quran , zikir dan do’a kita diterima oleh Allah SWT dan benar-benar menjadi bekalan yang menambah kekuatan khasnya kekuatan keimanan dan ketaqwaan. Bahkan amal ibadah itu ada hubungan dengan kerja-kerja jihad dan pengorbanan di jalan Allah.
Kerana itu ditakdirkan Allah SWT, Peperangan Badar Al Kubra telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 hijrah. Pembukaan Makkah telah berlaku pada 10 Ramadhan Tahun 8 Hijrah, Peperangan Tabuk juga berlaku dalam bulan Ramadhan Tahun 9 Hijrah, Islam mula masuk ke Negeri Yaman juga dalam bulan Ramadhan Tahun Sepuluh Hijrah seperti yang terdapat di dalam Sejarah Islam, yang memperlihatkan bahawa amal ibadah di dalam Islam adalah bekalan yang menjana tenaga kerja, tenaga amal dan tenaga jihad di jalan Allah SWT.
Al Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis daripada Abi Dzar RA, katanya:
"Aku telah bertanya, Wahai Rasulullah ! manakah amalan yang lebih utama? Maka Rasulullah s.a.w menjawab iaitu beriman kepada Allah dan berjihad pada JalanNya (Jalan Allah).“
Di dalam realiti masyarakat sekarang, jihad yang lebih utama untuk kita laksanakan ialah jihad dakwah dan jihad tarbiyyah seperti yang pernah dijelaskan oleh al Ustaz Muhammad Syadid di dalam kitabnya Jihad Di Dalam Islam; dakwah dan tarbiyah (didikan) adalah jihad awal yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w berdakwah mengajak kepada deen Allah dan diikuti dengan mendidik mereka yang menerima dakwah itu dengan wahyu Allah SWT sehingga lahir pendokong Islam yang benar-benar beriman dan berpadu tenaga bersama Rasulullah s.a.w melaksanakan tuntutan Islam dengan penuh komitmen dan taat. Mereka disifatkan “ahli Ibadah pada waktu malam dan pahlawan di siang hari”
Kita berdo’a semoga kita juga dikurniakan sifat-sifat demikian oleh Allah SWT melalui madrasah Ramadhan dan kepelbagaian ibadah di bulan yang mulia ini.

Wallahuallam......
Segala yang baik adalah dari Allah SWT jua dan yang kurang adalah dari hamba sendiri.Ambillah yang baik itu kerana yang baik adalah datangnya dari Allah SWT jua dan janganlah kamu termasuk kedalam golongan orang yang ragu-ragu...

Akhikum fiddeen,

Jamal Nasir
( Pak Su Jaman )
*Diedit dari artikel tulisan penulis diruangan Haluan Tarbawi.