Monday, 5 September 2011

KEMPEN PUASA SUNAT SHAWAL..AYUHHH..



FADHILAT PUASA WAJIB DAN SUNNAT SEPANJANG TAHUN
                        Ibadat puasa adalah ibadah dikerjakan dengan berlapar dan berdahaga sepanjang hari iaitu sejak terbitnya fajar sodiq (masuk waktu Subuh) hingga terbenamnya matahari (masuk waktu Maghrib). Antara hikmah dan faedah ibadat puasa ialah menginsafkan diri bahawa kita pada hakikatnya adalah makhluk yang dhaif yang perlu sentiasa menghampirkan diri dan beribadat kepada Allah s.w.t. serta mengharapkan limpah kurnia-Nya.
                        Firmah Allah s.w.t. menjelaskan tentang hikmah puasa Ramadhan yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah:183)
                        Dengan puasa juga, kita akan memperolehi kesihatan jasmani dan rohani. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:"Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat." Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. lagi: "Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit."
                        Selain daripada itu, puasa juga mempunyai hikmah dan faedah seperti:
  • Tanda bersyukur kepada Allah s.w.t. atas limpah kurnia nikmatNya yang tidak terhingga
  • Mendidik nafsu ammarah (yang lebih banyak mengajak kepada keburukan) agar berubah menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram, bersedia menjunjung titah perintah Allah s.w.t.
  • Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat kasihan belas terhadap orang-orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik kehidupan mereka
  • Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti tamak, sombong, hasad dengki dan lain-lain lagi
  • Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup
  • Memperolehi kecerdasan akal dan fikiran sebagaimana disebut dalam satu riwayat maksudnya: "Orang yang lapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya."
                        Oleh kerana sangat besar faedah dan manfaatnya ibadah puasa kepada kita, maka selain puasa yang wajib pada bulan Ramadhan, ada lagi puasa-puasa sunat yang elok dilakukan sepanjang tahun iaitu seperti yang akan disebutkan nanti.
FADHILAT PUASA RAMADHAN
                        Puasa pada bulan Ramadhan difardhukan kepada setiap individu Muslim dan Muslimah yang telah 'aqil baligh dan ketiadaan uzursyar'i. Uzur puasa seperti sakit dan dalam perjalanan (musafir) sejauh 91km. atau lebih. Orang yang uzur boleh meninggalkan puasanya. tetapi wajib mengqadhanya pada hari dan bulan yang lain.
                        Puasa Ramadhan adalah menjadi salah satu rukun Islam yang kelima. Pahala melakukannya tersangat besar, sebagaimana sabdaNabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dalam keadaan beriman dan kerana menuntutkan keredhaanAllah s.w.t., nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Rujuk: Al-Targhib II:206)
                        Sabda Baginda Rasulullah s.a.w.: "Setiap amanalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda. Firman Allah s.w.t. (maksudnya) :" Kecuali puasa yang dikerjakan untuk Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku" Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)
FADHILAT PUASA-PUASA SUNNAT SEPANJANG TAHUN
1.    Puasa enam hari dalam bulan Syawal
                        Fadhilat atau keutamaannya sangat besar sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudian diiringi dengan puasa (sunnat) enam hari dalam bulan Syawal adalah seperti puasa selama setahun." (Riwayat Muslim)
                        Cara melakukannya yang terbaik (afdal) secara berturut-turut dan dimulakan pada hari kedua bulan Syawal, tetapi boleh dan sah dengan tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari didalam bulan Syawal. Malah sesetengah ulama mengharuskan puasa enam hari dalam bulan Syawal diniatkan berserta puasa qadha Ramadhan.
2.    Puasa hari 'Arafah (9 Zulhijjah)
                        Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji. Fadhilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya, Rasullullah s.a.w. telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari 'Arafah, sabdanya bermaksud: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya." (Riwayatkan oleh Muslim dan al-Turmuzi)
                        Menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Puasa pada hari 'Arafah itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datanag." (Diriwayat oleh Muslim)
3.    Puasa pada bulan Muharram
                        Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam." (Riwayat Muslim)
                        Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari."(Dikeluarkan oleh al-Tabrani)
4.    Puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)
                        Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim)
5.    Puasa hari Tasu'a (Tanggal 9 Muharram)
                        Ia disunatkan, namun Rasullullah s.a.w. belum sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda s.a.w. bersabda maksudnya:"Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharra,." (Riwayat Ahmad dan Muslim)
PERINGATAN
Puasa sunnat pada hari ke-10 Muharram hendaklah digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau dengan hari selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari berturut-turut iaitu ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika ditunggalkan 10 Muharram sahaja maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan jangalah menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya." (Riwayat Imam Ahmad)
6.    Puasa bulan Sya'aban
                        Daripada Usamah bin Zaid r.a. katanya, aku berkata: "Wahai Rasullullah, tidak saya lihat tuan hamba berpuasa satu bulan daripada bulan-bulan (dalam setahun selain Ramadhan) seperti tuan berpuasa pada bulan Sya'aban." Sabda Rasullullah s.a.w."Bulan ini (yakni bulan Sya'aban) ialah bulan yang manusia lalai padanya antara Rajab dan Ramadhan, pada hal ia (yakni bulan Sya'aban) adalah bulan diangkat amalan kepada Tuhan seru sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat dan aku berpuasa." (Riwayat al-Nasai)
                        Ummu Salamah r.a. pula berkata: "Tidak pernah aku lihat Rasullullah s.a.w. berpuasa dua bulan berturut-turut melainkan pada bulan Sya'aban dan Ramadhan." (Riwayat al-Turmuzi)
7.    Puasa pada hari Isnin dan Khamis
                        Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Rasullullah s.a.w. sabdanya: "Diperlihatkan (kehadrat Allah s.w.t.) segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka ketika diperlihatkan amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa." (Riwayat al-Turmuzi)
                        Menurut riwayat Muslim diterima daripada Abu Qatadah, pernah ditanyakan kepada Rasullullah sa.w. tentang puasa pada hari Isnin, maka Baginda s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: Itulah hari yang padanya aku dilahirkan, padanya aku dibangkitkan menajdi Rasul dan padanya Al-Quran diturunkan kepadaku." (Subul al-Salam)
8.    Puasa hari Rabu, Khamis dan Jumaat
                        Daripada 'Ubaid bin Muslim al-Qurasyi daripada bapanya r.a. ujurnya, aku bertanya atau ditanya oleh Baginda Rasullullah s.a.w.mengenai puasa dahar (sepanjang tahun), maka Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tidak (maksudnya tidak dibenarkan puasa tersebut), kerana sesungguhnya untuk keluargamu atas dirimu ada hak. Oleh itu berpuasalah pada bulan Ramadhan dan yang mengikutinya (enam hari dalam bulan Syawal), dan pada setiap hari Rabu dan Khamis, maka anda sungguh telah (mendapat pahala) puasa sepanjang tahun dan anda juga telah berbuka." (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai dan al-Turmuzi)
                        Daripada Anas bin Malik r.a. bahawa beliau telah mendengar Rasullullah s.a.w. bersabda bermaksud: Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, nescaya Allah s.w.t. membina untuknya sebuah istana disyurga daripada permata, yaqut dan zabarzad dan dicatat baginya bebas dari api neraka>" (Riwayat al-Tabrani)
                        Menerusi riwayat daripada Ibnu Umar r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, kemudian bersedekah pada hari Jumaat sedikit atau banyak, nescaya diampunkan semua dosanya hingga menjadi seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih daripada segala dosa." (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)
9.    Puasa pada hari Putih (13,14 dan 15 bulan Islam)
                        Diriwayatkan daripada Jarir r.a. daripada Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasa tiga hari pada setiap bulan adalah puasa sepanjang tahun iaitu puasa pada hari-hari putih - pada hari 13,14 dan 15 (bulan Qamariyah)." (Riwayat al-Nasai dengan sanad yang sohih)
10.   Puasa tiga hari pada setiap bulan
                       Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Qatadah, bahawasanya Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Puasa tiga hari pada setiap bulan, Ramadhan ke Ramadhan itulah puasa sepanjang masa."
                        Mengenai berpuasa tiga hari pada setiap bulan, ada beberapa pendapat Ulama. Antaranya dikatakan puasa tiga hari itu ialah puasa pada 13,14 dan 15. Inilah pendapat kebanyakkan Ulama, antara lain Umar, Ibnu Mas'ud, Abu Zar, al-Syafi'i, Abu Hanifah, Ahmad dan Ishaq.
                        Sementara al-Nakha'i berpendapat ialah puasa tiga hari pada akhir bulan.
11.    Puasa selang-seli (sehari puasa sehari tidak)
                        Hadith daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al-'As r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Telah sampai berita kepadaku bahawa anda berpuasa pada waktu siang dan berjaga (kerana beribadah) waktu malam. Jangan buat demikian kerana untuk jasadmu atas dirimu ada habuan, untuk matamu atas dirimu ada habuan dan untuk isterimu ada habuan. Puasalah dan berbukalah. Puasa tiga hari pada setiap bulan, maka dengan demikian anda mendapat pahala sepanjang tahun." Aku berkata: " Wahai Rasullullah, aku mempunyai kekuatan (keupayaan untuk berpuasa). Sabda Baginda Rasullullah s.a.w. "Maka berpuasalah puasa NabiDaud a.s. iaitu berpuasalah sehari dan berbuka sehari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
                        Daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al'As katanya, telah bersabda Rasullullah sa.w. bermaksud: "Puasa yang paling disukai oleh Allah s.w.t. ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah s.w.t. ialah solat Nabi Daud, baginda tidur separuh malam dan bangun beribadah sepertiga malam dan tidur seperempat malam dan baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
PERINGATAN
1.    Dalam mencari pahala puasa sunnat, janga tersalah hari-hari yang diharamkan berpuasa iaitu:
  • TANGGAL 1 SYAWAL (HARI RAYA AIDIL FITRI)
  • 10 ZULHIJJAH (HARI RAYA AIDIL ADHA)HARI-HARI TASYRIQ: 11, 12 DAN 13 ZULHIJJAH
  • HARI SYAK MUNGKIN HARI MULA BERPUASA (30 SYA'ABAN)
  • SELEPAS 15 SYA'ABAN JIKA BUKAN PUASA QADHA ATAU NAZAR ATAU TIADA HUBUNGAN DENGAN PUASA PADA HARI SEBELUMNYA, ATAU BUKAN HARI YANG BIASA BERPUASA
  • PUASA SUNNAT BAGI WANITA TANPA IZIN SUAMI (JIKA SUAMI BERMUKIM YAKNI TAK MUSAFIR ATAU BERPERGIAN JAUH)
2.    JANGAN PULA BERPUASA PADA HARI-HARI YANG DIMAKRUHKAN:
  • PUASA ORANG YANG SAKIT BERSANGATAN
  • PUASA ORANG YANG SANGAT TUA
  • PUASA WANITA YANG HAMIL
  • PUASA ORANG YANG MUSAFIR
  • PUASA PADA HARI 'ARAFAH BAGI ORANG YANG MENGERJAKAN HAJI
  • PUASA PADA HARI SABTU SAHAJA (DITUNGGALKAN)
  • PUASA PADA HARI JUMAAT SAHAJA (DITUNGGALKAN)
  • PUASA ASALNYA SUNNAT DIKERJAKAN OLEH ORANG YANG MENANGGUNG PUASA QADHA
  • PUASA SEPANJANG TAHUN (SEPANJANG MASA)
3.    ORANG YANG MENGERJAKAN PUASA WAJIB DIKEHENDAKI BERNIAT PUASA PADA WAKTU MALAM. ADAPUN PUASA SUNNAT BOLEH BERNIAT PADA PAGI HARI SEBELUM TERGELINCIR MATAHARI (BELUM MASUK WAKTU ZUHUR) DENGAN SYARAT BELUM MELAKUKAN PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

4.    NIAT PUASA TIDAK SEMESTINYA DENGAN MELAFAZKAN DALAM BAHASA ARAB, MEMADAI MELINTASKAN DIDALAM HATI DENGAN APA-APA  JUGA BAHASA YANG KITA FAHAMI, IAITU BAHAWA KITA HENDAK MELAKUKAN PUASA (SEBUT JENIS PUASANYA) PADA HARI ESOK (JIKA NIAT PADA WAKTU MALAM) ATAU PADA HARI INI (JIKA BERNIAT PADA WAKTU DINIHARI ATAU WAKTU SAHUR ATAU PADA SEBELAH PAGI SELEPAS SUBUH JIKA PUASA SUNNAT)

Wednesday, 31 August 2011

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1432 H

Selamat Hari raya Aidul Fitri
Maaf Dzahir Batin
dari
Pak Su Jaman & Family

Monday, 1 August 2011

Ahlan Wasahlan - Marhaban Ya ramadhan

Alhamdulillah, syukur sentiasa kita kehadrat Allah SWT diatas anugerahnya yang tidak terhingga keatas kita....

Alhamdulillah dan Tahniah juga buat anakcucucicit Tok Som TokWan Nasir sekelian kerana sekali lagi dipilih untuk menjadi Tetamu Madrasah Ramadhan 1432H ini.....pilihan Allah keatas kita untuk kita melatih,mendidik dan mentarbiah diri dan jiwa kita dengan Tarbiah Allah SWT diMadrasah Ramadhan ini..... tarbiah Puasa dalam ertikata lain melatih diri kita menahan diri dari makan dan minum serta keinginan-keinginan lain dan bermacam -macam lagi keinginan hawa nafsu yang sebelas bulan yang lalu telah kita terbabas dan hampir terjerumus mengikuti ajakan nafsu kita itu.....


Alhamdulillah.. Allah yang maha mengetahui akan hakikat penciptaan hambanya telah menetapkan satu bulan dari bulan-bulan Hijrah yang ada ini dengan memfardhukan Puasa ini bagi mensucikan kembali jiwa hambanya yang telah dikotori oleh berbagai-bagai habuk dan debu serta berbagai kotoran lain yang terpalit dan melekat sepanjang sebelas bulan yang lalu itu......

Semoga masuk kita keRamadhan Tahun ini adalah dengan penuh rasa Keimanan, rasa T'aabbud sepenuhnya kita kepada Allah SWT dengan penuh rasa penghambaan dan keluarnya nanti dari Madrasah ini adalah dengan penuh rasa  Ketakwaan kita kepada Allah SWT hasil dari tarbiah sebulan yang telah kita jalani ini.....


Firman allah SWT ;..
 " Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan keatas kamu Puasa sepertimana yang telah difardhukan keatas umat-umat yang terdahulu dari kamu agar kamu Bertakwa......"

Salam ramadhan dan Selamat Berpuasa dari Pak Su Jaman buat Anak cucucicit Tok Som Tok Wan Nasir sekelian......

Semoga kita semuanya berjaya mencapai matlamat puasa seperti yang dikehendaki....

" Taqabbalallahuminnnawaminnkum...."



Wassalam......

Pak Su Jaman

Monday, 27 June 2011

Coretan Semasa AnakCucuCicit TokSom TokWan Nasir

Asslmkm wrth.

Alhamdulillah,lama tak menulih,..er terlebih dahulu marilah sama-sama kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Rabbul Jalil ,Allah SWT yang masih lagi mengizinkan kita untuk terus bernafas lagi dibumi yang sementara ini dan masih lagi mengecapi nikmat Islam dalam kehidupan harian kita....Alhamdulillah...

Lama tak bersembang,...tum tam tum tam masa berlalu agak pantas sekali...usia pun dah pelan meningkat....kalau dulu ada yang masih disekolah belajar tapi lani dah lepaih sekolah dah....dah masuk u kut nu dah....kalau dulu belajar kat u ada yang habih dah..dah mula nak kereja dah...kalau dulu anak tak dak lagi ,lani dah ada anak dah..kalu dulu anak baru sorang dua tapi lani dah bertambah.....kalu dulu masih muda tapi lani dah boleh nak jadi Tok Wan dah..... gitu la kehidupan kita ni...ibarat roda yang berpusing, kejap diatas dan kejap dibawah......tu la yang nak sama-sama kita pikiaqkan ni....


Bulan lepaih ,..Pak Tam sekeluarga dan Mak Lang Zainab ,Alhamdulillah pergi kebumi barokah Allah SWT yang terdapat disana Baitullah di Masjidul Haram serta juga Masjidun Nabawi menunaikan Umrah dengan menantu Pak Nyang Ramli serta anak Pak Nyang, Naziah yang menguruskan Syarikat Travel & Tours mereka Ibtisam Travel & Tours yang dikendalikan juga oleh besan Pak Nyang Ustaz Hasan Mahmud Al-Hafiz.. sebelum tu dalam cuti sekolah bulan tiga Pak Nyang Li dengan Mak Nyang Rodhiah turut dibawa oleh menantunya bersama menunaikan umrah ketanah suci itu terlebih dahulu...Alhamdulillah , kita pun turut tumpang rasa seronok bersama walaupun tak sampai betoi lagi giliran kita dipanggil kebumi barokah itu... tapi insya Allah Pak Su rasa masing-masing dalam diri tu ada tersimpan hajat besar untuk turut kesana menunaikan Rukun yang kelima ataupun setidaknya kalau boleh nak juga pi mengerjakan umrah ni dulu kalau giliran haji tu lambat sangat macam mak lang Zainab tu... Insya Allah kita bekerja untuk tu dan mohon Allah pemudahkan kita dalam urusan ni.....

Dengar cerita Pak Tam ,masa pi Umrah tu ada juga la jumpa cucu menakan anak Kak Mariam Wa Majid yang dok mengaji kat Jordan sana nu,depa pi dengan kawan-kawan dan juga pensyarah depa.....Alhamdulillah....anak Pak Su Kak Cik Saiyidah tu teringin juga nak pi tapi tak boleh lagi pasai kena ada mahram bersama....sabar-sabar la no.... lani dia balik bercuti sebulan kat umah, 1 Julai ni ,Insya Allah nak balik kesana la....


Semalam Pak Tam singgah di umah,sembang-sembang dia pun bagi tau la yang Bang Teh dah pi masuk Asasi kat Universiti Malaya sana nu..... buat asasi sain hayat, Insya- Allah, kita sama-sama mendoakan agar cita-cita Bang Teh nak jadi Doktor Muslim yang punya misi dan visi yang besar untuk ummat akan tercapai .... kita tambah koleksi profesional muslim dalam kalangan anakcucucicit TokSomTokWan Nasir ni..... biar ada belaka....Ustaz, Cikgu, Doktor, Therapist, Pharmasist, Engineur, Bank Officer, Lawyer dll bidang lagi la....
Anak Sulong Pak Su,Nurul Atiyyah pun akan turut menjalani latihan praktikal selama setahun diHospital Sungai Petani dalam bidang Occupational Therapy sebagai syarat pengajian Tahun Akhirnya begitu juga anak kedua Nur Ainul Yaqin pun akan tamat pengajiannya diperingkat  Diploma Farmasi hujung bulan ni dan kalu ada rezeki akan sambung lagi la katanya....Anak kelima Muhammad Mun`im dah pun daftar sebagai pelajar Diploma Kejuruteraan Awam di UiTM Pulau Pinang....nak ikut jejak abuya depa kata... buat la mana yang terbaik..apa pun yang penting hubungan kita denagan Allah mesti kita jaga....ni semua jalan saja ..matlamat kita mau jelas...nak cari redho Allah sebanyak mungkin diatas mukabumi Allah ni untuk bekalan disana nanti.....Bang Cik Sulhi pun dah jadi Siswa kat Insaniah dah,fakulti Syariah dan Usuluddin lagi... Insya Allah bakal jadi Lawyer Muslim nanti atau Qadhi ka.....


Begitulah serba sedikit perihal semasa anakcucucicit TokSom Tok Wan Nasir setakat hari ni yang dapat Pak Su nikilkan disisni......

Wallahuallam.....

Pak Su Jaman
28 Jun 2011

Monday, 30 May 2011

Bulan Rejab - Bulan Ke-7 Hijrah

 

Kelebihan Bulan Rejab

rejabBulan Rejab adalah termasuk di dalam salah satu bulan-bulan Islam yang dianggap suci oleh umat Islam. Firman Allah s.w.t.
Maksudnya ;
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. (At-Taubah: 36)

Empat bulan yang dihormati sebagaimana disebutkan di dalam ayat tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Inilah yang telah disepakati oleh para mufassirin. Penghormatan terhadap bulan Rejab adalah bersempena penghormatan yang telah diberikan kepadanya semenjak zaman jahiliah lagi dimana mereka mengharamkan peperangan di dalam bulan tersebut. Inilah suatu pengiktirafan oleh Allah s.w.t. terhadap bulan Rejab di samping bulan-bulan haram yang lain.
Sejarah Islam telah mencatatkan beberapa peristiwa penting telah berlaku di dalam bulan Rejab, di antaranya ialah ;
Pertama : Peristiwa isra' Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama' Islam. Ia adalah peristiwa di mana Rasulullah s.a.w. telah dijalankan dari Mekah ke Baitul Maqdis dan kemudiannya diangkat ke langit untuk bertemu Allah s.w.t. Di sinilah bermulanya kefardhuan solat lima waktu kepada umat Muhammad s.a.w.

Kedua : Peristiwa hijrah yang pertama ke negeri Habsyah oleh beberapa orang sahabat Rasululullah s.a.w. termasuk termasuk saidina Usman bin Affan r.a. dan isterinya Ruqaiyah binti Rasulullah s.a.w. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.

Ketiga : Peristiwa perang Tabuk yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah. Ia adalah peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke semenanjung Tanah Arab ketika itu. Walaubagaimanapun akhirnya tentera Rom membatalkan hasrat mereka kerana merasa gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.
Selain daripada itu, terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku di dalam bulan yang mulia ini seperti penaklukan semula kota Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi dari kekuasaan tentera Salib pada 27 Rejab 583 hijrah. Imam As-Syafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam di tanahair kita juga dilahirkan di dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah bersamaan 767 masehi.

TINGKATKAN AMAL DI BULAN REJAB SEBELUM SAMPAI RAMADHAN.Oleh kerana itu, bersempena datangnya  bulan Rejab ini banyak amalan sunat yang boleh dilaksanakan sepertimana juga di dalam bulan-bulan yang lain, di antaranya ;
1.    Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada bulan Rejab. Amalan berpuasa sunat adalah merupakan suatu galakan daripada Allah s.w.t. kepada umat Muhammad s.a.w. sebagaimana disebutkan di dalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Bukhari ;
Maksudnya ;
Sabda Rasulullah s.a.w. " Allah s.w.t. telah berfirman bahawa puasa itu adalah untukNya maka Allah lah yang akan membalasnya."

Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab. Said menjawab: "Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: "Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa." (Sahih Muslim)

2.    Memperbanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hazam ;
Maksudnya :
" Tangan yang di atas ( pemberi ) lebih baik dari tangan yang di bawah ( penerima )"

3. Memperbanyakkan zikrullah dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih  dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. yang  bermaksud " Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia."

Apa yang kita harapkan agar amalan-amalan di dalam bulan Rejab ini dilakukan dengan penuh keikhlasan dan akan menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t.

Maksudnya ;
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!(Zalzalah: 7-8)

Ustaz Muhammad Muzakkir Che Ani

*Nota;
Bahan ini diambil dari Haluan Tarbawi.com untuk tatapan kita bersama....

Merindui Ainaa'ul Mardhiyah

Rindu!..Ermm..hari ini rindu pada seseorang sudah menjadi kebiasaan pada anak muda kita. Bukankah rindu itu satu perasaan indah yang dianugerahkan Allah SWT pada kita. Namun, sejauh mana rindu kita itu satu anugerah Allah SWT atau sekadar perasaan dari nafsu amarah? Menjadi pemuda luarbiasa di sisi Allah, rindunya pada seseorang akan membawa kebahagiaan di syurga, persoalannya mampukah kita miliki rindu sedemikian? Mari kita belajar dari seorang remaja dan pemuda luarbiasa yang merindui Ainaa’ul Mardhiyah, bidadari syurga.
Abu Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdul Wahid bin Zaid:
“Pada suatu hari ketika kami di dalam satu majlis persiapan untuk pergi berjihad, aku memerintahkan kawan-kawanku untuk keluar ke medan peperangan, lalu seorang daripada kami membacakan ayat 111 surah at-Taubah yang bermaksud:
“Sungguh Allah SWT telah membeli dari kaum mukminin jiwa dan harta mereka dengan di bayar syurga.”
Di dalam majlis itu ada seorang pemuda berumur 15 tahun. Beliau yang baru kematian bapanya telah menerima harta waris yang banyak telah berkata:
“Ya Abdul Wahid, aku bersaksikan padamu untuk menjualkan diri dan hartaku untuk mendapatkan syurga itu.”
Subhanallah, masih adakah remaja seusia 15 tahun mampu berdiri teguh dan mengungkapkan semangat jihad dan kecintaaannya pada syurga Allah sehingga sanggup memberikan segala hartanya?

Sunday, 24 April 2011

Coretan masa-masa yang berlalu.......

Assalamualaikum wrth.

Alhamdulillah.... syukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah perkenananya kita masih lagi diberi kesempatan untuk terus bernafas dan menghirup udara segarnya diatas mukabuminya ini disamping masih lagi memberi ruang untuk kita sama-sama merasai nikmat dan Anugerah terbesarnya yakni nikmat ISLAM itu sendiri..... dan seperti kata Almarhum Abul A'la Al-Maududi bahawa inilah anugerah yang terbesar yang Allah SWT kurniakan kepada umat manusia diatas dunia ini.....
Alhamdulillah.....dalam jutaan umat manusia yang ada dimukabumi ini, kita diantara yang terpilih untuk merasai nikmat ini...... jadi... anakcucucicit TokSomTokWanNasir sekelian marilah sama-sama kita bersyukur dalam ertikata yang sebenar diatas anugerah ini.....yakni dengan kita menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya dalam waaima apa sekalipun kehidupan kita.....marilah kita mengabdikan sepenuh penghayatan dan kehidupan kita untuk ISLAM yang agung ini,Islam yang telah ditanzilkan oleh Allah SWT kepada Ar-Rasul Muhammad SAW kepada seluruh umat manusia diatas mukabumi ini.......

 " Dan tidak Aku jadikan Jin dan Manusia itu melainkan untuk mereka itu mengabdikan diri mereka kepadaKu "
      Adz-Zariyat : 56

Dalam meniti kehidupan kita sehari-hari ini perlulah kita semak dan kita buat check and balance dalam semua aktiviti-aktiviti kita...adakah ikut apa yang Allah suruh ataupun tidak..... kalau ok..alhamdulillah... kalau tidak maka kena perbaikilah agar ianya lebih baik dimasa akan datang... semoga hari ini lebih baik dari semalam dan semoga esok lebih baik dari hari ini......

Anakcucucicit TokSomTokWanNasir sekelian......
Apa yang kita buat hari ini akan ditanya nanti dihadapan Allah SWT.....marilah kita sama-sama memohon keampunan dan berdoa agar Allah SWT dengan sifat Rahimnya sentiasa mengampunkan kita dari kesalahan-kesalahan yang tak lepas dari  kita dalam suasana yang serba mencabar ini......

Semoga Allah SWT mencampakkan Rahmatnya keatas kita semua,mengembangkan lembayung rahmatnya kepada kita,keluarga kita, anak-anak dan isteri kita dan memasukkan kita kedalam SyurgaNya yang maha luas dan menjauhi kita dari Azab Nerakanya..Nauzubillah.......

Wallahuallam...

Wassalam....

Pak Su Jaman