Monday 6 September 2010

Hari-hari Terakhir Meraih Takwa Ramadhan 1431H


Alhamdulillah,Marilah kita panjatkan setinggi kesyukuran kita kehadrat Allah SWT kerana hingga kesaat ini kita masih dipanjangkan umur dan diberi kesempatan kepada kita untuk terus ber’ubudiyah kepada Allah SWT, khasnya di bulan Ramadhan yang kini telah masuk ke minit-minit terakhir bagi tahun ini.
Dikesempatan ini marilah kita terus berdo’a dan memohon kehadrat Rabbul Jalil Allah SWT agar kita turut termasuk kedalam kalangan hambanya yang mendapat janji-janji RahmatNya, KeampunanNya serta dibebaskan daripada azab di Hari Akhirat nanti. Seperti yang kita maklumi di sepanjang Ramadhan, Rasulullah s.a.w banyak berdo’a di samping ibadah dan amal kebaikan yang ditingkatkan semata-mata mencari keredhaan Allah SWT. Rasulullah s.a.w juga menggalakkan umatnya berdo’a ketika berbuka puasa kerana do’a ketika itu tidak ditolak oleh Allah SWT .
Hadis Rasullullah SAW;
Maksudnya: “Abdullah Ibn Amru bin al ‘As berkata : Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda bahawa sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika ia berbuka puasa terdapat do’a yang tidak ditolak.” (Hadis diriwayatkan oleh Ibn Majah.)
Ibn Majah juga meriwayatkan hadis daripada Abi Hurairah RA katanya (Abu Hurairah berkata) :
Maksudnya: “Terdapat tiga (3) do’a yang tidak ditolak (bahkan dimakbulkan oleh Allah) iaitu do’a imam yang adil, do’a orang yang berpuasa sehingga ia berbuka puasa dan do’a orang yang dizalimi.....”
Allah SWT memberi jaminan bahawa Allah sentiasa hampir kepada hamba-hambaNya.
Firman Allah di dalam ayat 186 Surah al Baqarah:
Maksudnya: “Apabila hamba-hambaKu bertanya kepada engkau (Rasulullah s.a.w) tentang Aku (Allah), maka beritahulah bahawa Aku sentiasa hampir dengan mereka. Aku perkenankan do’a orang-orang yang berdo’a. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (patuh kepada perintahKu) serta hendaklah mereka teguh beriman kepadaKu semoga mereka mendapat pertunjuk (ke Jalan yang betul).“


Walaupun Ramadhan sudah hampir meninggalkan kita, tetapi orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT amat sayang dan merasa sedih untuk berpisah dengan bulan yang penuh berkah ini. Abu Mas’ud al Ghifari RA pernah menyebut hadis Rasulullah s.a.w:
Maksudnya: “Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa-apa (kelebihan) di dalam bulan Ramadhan, nescaya hamba-hamba Allah ini bercita-cita agar bulan Ramadhan berlaku (berterusan) sepanjang tahun.“

Tetapi realitinya, majoriti masyarakat kini seolah-olah ingin segera keluar daripada Ramadhan dengan mengembar-gemburkan program-program Hari Raya yang sudah tersedia di kaca TV dan media massa. Dan lebih gamat lagi apabila dipestakan dengan pembakaran mercun, meriam buluh dan sebagainya sehingga menenggelamkan suasana ibadah kepada Allah, lebih-lebih lagi dibahagian akhir Ramadhan yang diberkati ini. Sedangkan sepatutnya dibahagian akhir Ramadhan inilah perlu kita lipatgandakan amalan-amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Baginda Rasulullah s.a.w melipatgandakan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT khusus dibahagian sepuluh hari yang akhir daripada bulan Ramadhan: tumpuan khusus kepada menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan istighfar, zikrullah, tilawah al Quran, solah dan do’a serta i’tikaf sehingga Baginda Rasulullah s.a.w mengejutkan ahli-ahli keluarganya sama-sama bangun menghidupkan malam Ramadhan.
Maksudnya: “Adalah Rasulullah s.a.w, apabila menjelang sepuluh hari yang akhir daripada Bulan Ramadhan, maka Baginda s.a.w menghidupkan malam-malam hari Ramadhan itu (dengan ibadah) dan mengejutkan ahli keluarganya (bangun beribadah) kepada Allah SWT. Dan Baginda s.a.w mengikat kukuh مئزر nya (ini adalah kata-kata sindiran bahawa Nabi s.a.w tidak mendekati isteri-isterinya dengan tujuan jimak) di dalam lingkungan masa tersebut.”
Bagi kita selaku umat Nabi Muhammad s.a.w, sewajarnya mengambil contoh daripada Sunnah Rasulullah s.a.w ini kerana di bahagian akhir Ramadhan ini terdapat satu malam yang dikenali sebagai lailatul qadar yang sangat besar kelebihan dan fadhilatnya: satu malamnya ini melebihi seribu bulan seperti yang telah dinyatakan didalam artikel sebelum ini.
Sesiapa yang Allah SWT pertemukan dengannya ketika beribadah pada malam itu maka itu adalah kurniaan dan nikmat daripada Allah SWT. Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui siapakah di kalangan hamba-hambaNya yang benar-benar ikhlas dan sungguh-sungguh melaksanakan ‘ubudiyah kepada Allah dengan penuh ketaatan. Namun, Rasulullah s.a.w memberi rangsangan dan mengesa orang-orang yang beriman, menuntut dan mencarinya dengan qasad dan niat mentaati Allah dan beribadah kepadaNya semata-mata.
Abu Said al Khudri RA, juga Abu Dzar RA pernah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Maksudnya: “Carilah malam tersebut pada bahagian sepuluh yang akhir daripada Bulan Ramadhan pada setiap (malam) ganjil.” (Muttafaq ‘alaih)
Menurut Fadhilah as Syeikh Darwis Mustafa Hasan dalam kitabnya Hakikat Puasa menjelaskan; oleh kerana penentuan malam ganjil kemungkinan tidak tepat kerana bergantung kepada kepastian awal bulan dan akhir bulan, maka sewajarnya sepuluh malam yang akhir daripada Ramadhan itu dilipatgandakan ‘ubudiyah kepada Allah pada seluruh malam tersebut.
Demikianlah Ramadhan yang sewajarnya diberi perhatian dan penekanan oleh umat Nabi Muhammad s.a.w. Ramadhan yang disifatkan sebagai Madrasah Tarbiyyah (pusat didikan) bagi mengawal hawa nafsu, membentuk diri, menyucikan ruh serta memperteguhkan keimanan dan menambahkan bekalan dalam rangka meneruskan kerja-kerja Islam dengan semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.
Professor Muhammad Qutb di dalam kitabnya Manhaj Tarbiyyah Al Islamiyyah pernah membuat bandingan dan perumpamaan antaranya bahawa ibadah khusus di dalam Islam (seperti puasa, zakat, haji dan perkara-perkara yang berkaitan ibarat stesyen bagi orang-orang musafir berhenti mengambil bekalan untuk meneruskan perjalanan yang jauh. Tiada perjalanan yang lebih jauh lagi melainkan perjalanan untuk balik ke alam akhirat, yang tidak diketahui hujungnya. Maka sudah pastilah memerlukan bekalan secukupnya. Ingatlah bahawa sebaik-baik bekalan ialah taqwa.



Oleh itu janganlah sekali-kali dibiarkan diri kita dibawa arus keinginan dan kecenderungan masyarakat sehingga perkara-perkara ibadah itu bertukar menjadi adat dan tradisi serta budaya tanpa merujuk kepada ajaran al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Kepelbagaian ibadah di dalam bulan Ramadhan bukan mengikut hawa nafsu. Tetapi ianya berdasarkan ajaran Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Setiap sesuatu itu ada petunjuk serta hukumnya. Ada yang wajib, ada yang sunat, ada yang harus dan terdapat juga perkara-perkara yang diharamkan dan dimakruhkan.
Adalah amat dibimbangkan nanti amalan ibadah yang dilakukan itu hanya sia-sia sahaja seperti yang pernah disuarakan oleh Rasulullah s.a.w :
Maksudnya: “Berapa ramai orang yang berpuasa tidak ada apa yang dia dapat kecuali lapar dan berapa ramai orang yang bangun malam (solat), tidak ada apa yang dia dapat kecuali berjaga malam semata-mata (Riwayat An Nasa’ir, Ibnu majah dan Hakim)
Oleh itu sama-samalah kita menginsafi peringatan Rasulullah s.a.w itu semoga puasa, solat, tarawih, witir , tilawatul Quran , zikir dan do’a kita diterima oleh Allah SWT dan benar-benar menjadi bekalan yang menambah kekuatan khasnya kekuatan keimanan dan ketaqwaan. Bahkan amal ibadah itu ada hubungan dengan kerja-kerja jihad dan pengorbanan di jalan Allah.
Kerana itu ditakdirkan Allah SWT, Peperangan Badar Al Kubra telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 hijrah. Pembukaan Makkah telah berlaku pada 10 Ramadhan Tahun 8 Hijrah, Peperangan Tabuk juga berlaku dalam bulan Ramadhan Tahun 9 Hijrah, Islam mula masuk ke Negeri Yaman juga dalam bulan Ramadhan Tahun Sepuluh Hijrah seperti yang terdapat di dalam Sejarah Islam, yang memperlihatkan bahawa amal ibadah di dalam Islam adalah bekalan yang menjana tenaga kerja, tenaga amal dan tenaga jihad di jalan Allah SWT.
Al Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis daripada Abi Dzar RA, katanya:
"Aku telah bertanya, Wahai Rasulullah ! manakah amalan yang lebih utama? Maka Rasulullah s.a.w menjawab iaitu beriman kepada Allah dan berjihad pada JalanNya (Jalan Allah).“
Di dalam realiti masyarakat sekarang, jihad yang lebih utama untuk kita laksanakan ialah jihad dakwah dan jihad tarbiyyah seperti yang pernah dijelaskan oleh al Ustaz Muhammad Syadid di dalam kitabnya Jihad Di Dalam Islam; dakwah dan tarbiyah (didikan) adalah jihad awal yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w berdakwah mengajak kepada deen Allah dan diikuti dengan mendidik mereka yang menerima dakwah itu dengan wahyu Allah SWT sehingga lahir pendokong Islam yang benar-benar beriman dan berpadu tenaga bersama Rasulullah s.a.w melaksanakan tuntutan Islam dengan penuh komitmen dan taat. Mereka disifatkan “ahli Ibadah pada waktu malam dan pahlawan di siang hari”
Kita berdo’a semoga kita juga dikurniakan sifat-sifat demikian oleh Allah SWT melalui madrasah Ramadhan dan kepelbagaian ibadah di bulan yang mulia ini.

Wallahuallam......
Segala yang baik adalah dari Allah SWT jua dan yang kurang adalah dari hamba sendiri.Ambillah yang baik itu kerana yang baik adalah datangnya dari Allah SWT jua dan janganlah kamu termasuk kedalam golongan orang yang ragu-ragu...

Akhikum fiddeen,

Jamal Nasir
( Pak Su Jaman )
*Diedit dari artikel tulisan penulis diruangan Haluan Tarbawi.

2 comments:

  1. Salam paksu,

    Yg gambaq umah tue patut ada umah paktam lah sbb yg tue umah warisan tok som dl.

    Yg tue sbnqnya sejarah sbb umah papan asal dah xwujud, yg tinggal hnya umah skrg yg dpt kita tgk lar nie walaupon dah bnyk berubah tapi still ada tapak dan bekasnya kan...kalo ada gambaq2 lama hitam putih dl ka leh lar post kat dlm nie. Masing2 nk kenai atau nk ingat blk kenangan lama dahulu kala...terima kasih.

    ReplyDelete
  2. nanti kita cari gambar2 tu semua...paksu tak dlam simpanan...nanti tengok kat pak tam ka ada kot.....

    ReplyDelete