Thursday 19 August 2010

Ramadhan Al-Mubarak & Ghazwah Badar Al-Kubra

Ramadhan semakin menghabiskan fasa pertamanya,hanya tinggal beberapa jam lagi fasa yang dikatakan 1/3 yang penuh kerahmatan ini akan berlalu.Sedar tak sedar dah masuk 10 hari kita dah sama-sama menjalani ibadah puasa ini,kini fasa kedua yang penuh dengan pengampunan akan muncul sehari lagi, dimana kita agaknya..???
Adalah diharapkan semoga semua kita dapat menjalani latihan ini dengan penuh kesedaran dan kemampuan yang ada,terasa benar ruginya sekiranya Ramadhan yang datang ini berlalu begitu sahaja….
Sesungguhnya seperti yang kita sama-sama maklumi, Ramadhan adalah bulan yang sangat-sangat dinantikan oleh semua kaum muslimin dan muslimat... harapannya moga kita semua turut berada dan bersama dengan Muslimin dan Muslimat yang lain jua hendaknya…….

Sabda baginda Rasul SAW;
"Apabila telah tibanya Ramadhan, telah terbuka pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka, dan dibelenggu segala syaitan"[
Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Nasaie,Ahmad dan Baihaqi].

Antara peristiwa penting yang dapat sama-sama kita ambil iktibar dari fasa kedua ini ialah berlakunya Ghazwah Badar Al-Kubra…

Peristiwa Badar Kubra ini telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah, iaitu pada hari Jumaat. Sesungguhnya, Badar Al-Kubra adalah merupakan bukti kekuasaan Allah S.W.T.keatas hamba-hambanya.Apa tidaknya.. masakan mampu tentera yang seramai 313 orang dapat mengalahkan pihak lawan yang seramai 1000 orang?.. Namun Badar Al-Kubra telah membuktikannya, benarlah janji-janji Allah keatas oarang-orang yang beriman itu... Golongan yang sedikit mampu untuk mengalahkan golongan yang ramai atas kehendak Allah S.W.T.
Peristiwa Badar ini kebanyakannya telah dinukilkan di dalam kitab Al Quran di dalam surah Al-Anfal.

Firman Allah:
" (Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu [dengan firmanNya], sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu [bala tentera] dari Malaikat yang datang berturut-turut".
(Surah Al-Anfal:9)

Mengapakah Allah menurunkan bantuanNya kepada tentera Islam yang sedikit itu?

Ini adalah kerana,walaupun kuantiti mereka kecil pada masa itu, namun kualiti mereka,tahap keimanan dan pengharapan mereka kepada Allah SWT adalah besar.

Siapakah yang sanggup untuk berlari di tengah panas pada bulan puasa?
Siapakah yang sanggup untuk berjemur di tengah panas pada bulan puasa?

Begitulah keadaannya para sahabat Rasullullah SAW generasi awwal assabiqun-nal-awwalun pada ketika itu,mereka menghadapi dua perjuangan yang besar yakni, Perjuangan menentang golongan kuffar dan perjuangan menentang hawa nafsu. Hanya mereka yang benar-benar dan berkualiti imannya sahaja yang mampu meneruskan jihad ini.

Biar kecil kuantiti, asalkan besar kualiti.

Badar Al-Kubra mengajar kita betapa pentingnya sikap kebergantungan seorang hamba kepada Rabbnya melalui kisah baginda Rasul SAW ini.

Doa baginda:
" Ya Allah, penuhilah kepadaku apa yang Engkau janjikan kepadaku.
Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon akan sumpah janjiMU",


Doa baginda lagi:
"Ya Allah, andaikata pasukan ini tewas pada hari ini, nescaya Engkau tidak akan disembah orang, Ya Allah, kalau begitu yang Engkau mahu, maka tiada orang yang akan menyembahMu selama-lamanya".

Kepasrahan baginda Rasul SAW begitu memuncak,baginda merayu dengan begitu pasrah sehingga tidak menyedari kain selendangnya jatuh dari bahu baginda sehinggalah di angkat oleh Saidina Abu Bakar RA.

Allah kemudiannya mewahyukan kepada malaikatNya:

'"(ingatlah) ketika Tuhanmu mewahyukan kepada Malaikat: sesungguhnya, Aku menyertai kamu(memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati-hati orang kafir dengan perasaan gerun, oleh itu, pancunglah leher mereka(musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka".
(Surah Al-Anfal:12)

Dan turunlah bantuan Allah kepada hambaNya yang beriman dan bergantung penuh harap padaNya. Bukan mudah usaha Nabi dan para sahabat dalam mengembangkan Agama Islam pada ketika itu.

Oleh itu,marilah sama-sama kita hargai akan anugerah terbesar keatas kita ini,walaupun ianya datang secara keturunan kepada kita,tapi siapalah kita tanpa mereka. Hargailah sungguh-sungguh akan Islam yang kita anuti ini dengan menjadi hambanya yang benar-benar beriman kepadaNYA dengan penuh rasa taabbud kita kepadaNYA dalam seluruh kehidupan kita.

Sesungguhnya;

Badar mengajar kita erti pengorbanan.
Badar mengajar kita erti perjuangan.
Badar mengajar kita erti penghambaan.
Badar mengajar kita erti ketaatan.


Mari sekali lagi kita sama-sama meningkatkan kualiti diri kita,keluarga kita dan orang disekeliling kita di bulan Ramdhan yang penuh keberkatan ini.Diawalnya penuh dengan kerahmatan,pertengahannya penuh dengan pengampunan dan diakhirnya pembebasan dari azab api neraka.
Marilah sama-sama kita rebut peluang di 2/3 yang masih ada ini dengan memohon keampunan dari Allah SWT dengan sesungguh-sungguhnya lebih-lebih lagi di 1/3 yang akhir yang telah dijanjikan akan satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan ataupun 83 tahun lebih iaitu malam Lailatul Qadar.
Marilah sama-sama kita menjadi hambanya yang benar-benar beriman hanya-sanya kepadaNYA.

Semoga ianya menjadi madrasah tarbiyatun nafsi bagi kita semua.


Wallahuallam…….

Yang baik adalah datangnya dari Allah SWT jua dan yang kurang dan sebagainya adalah datangnya dari hambanya jua.
Semoga artikel yang telah dieditkan dari penulis murabbi.net ini memberi manfaat untuk kita semua..

AkhikumfilIslam…
Jamal Nasir@ Pak Su Jaman

No comments:

Post a Comment